PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 10 Okt ini untuk keputusan berhubung rayuan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah RM10 juta yang difailkan beliau terhadap Lim Kit Siang.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim berkata mereka memerlukan masa sebulan untuk menyampaikan keputusan itu.

Beliau berkata keputusan mahkamah akan disampaikan secara fizikal di mahkamah terbuka pada 10 Okt ini.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu, Datuk M.Gunalan dan Datuk Azmi Ariffin mendengar penghujahan peguam Rueben Mathiavaranam yang mewakili Mohamed Apandi manakala peguam Sangeet Kaur Deo mewakili Lim.

Pada 23 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Mohamed Apandi terhadap veteran DAP itu dan beliau memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan keesokan harinya.

Mohamed Apandi menyaman Lim kerana didakwa memfitnah beliau dalam artikel mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dalam saman yang difailkan pada 5 Julai 2019, Mohamed Apandi mendakwa pada 6 Mei 2019, Lim telah menulis dan membawa kepada penerbitan artikel bertajuk, Dangerous fallacy to think Malaysia's on the road to integrity dalam Malaysiakini.

Beliau mendakwa perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud bahawa beliau terlibat dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika serta telah menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi Peguam Negara.

Mohamed Apandi yang menyandang jawatan Peguam Negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, mendakwa bahawa perkataan fitnah itu adalah tidak benar dan ditulis dengan niat mencemarkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara Malaysia bagi meraih publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Lim dan/atau ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.



MAHKAMAH-APANDI ALI 3 (AKHIR) PUTRAJAYA



Pada prosiding hari ini, Rueben berhujah bahawa Lim telah membuat penegasan positif dalam artikelnya, mendakwa Mohamed Apandi telah membantu dan bersubahat dalam skandal 1MDB dan diminta menjelaskan mengapa beliau berbuat demikian.

Beliau menegaskan tidak ada bukti yang menunjukkan Mohamed Apandi mengambil bahagian, menggalakkan atau membantu dalam skandal 1MDB dan juga tiada siasatan berterusan mahupun siasatan terhadap penglibatan Mohamed Apandi dalam skandal 1MDB.

Rueben berkata kata-kata fitnah yang didakwa ditulis Lim dalam Malaysiakini tidak dilindungi oleh pembelaan keistimewaan yang layak.

Bagaimanapun, Sangeet Kaur berhujah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar (kini hakim Mahkamah Rayuan) adalah betul dalam dapatannya untuk membenarkan pembelaan Lim bagi justifikasi dan keistimewaan yang layak serta menolak tuntutan Mohamed Apandi terhadap anak guamnya.

Beliau berkata Hakim Azimah telah mempertimbangkan dengan teliti dan menilai keterangan saksi-saksi dan tiada salah arah olehnya dalam membuat keputusan itu.

Mohamed Apandi hadir dalam prosiding mahkamah hari ini.

-- BERNAMA