Skip to main content

Malaysia

Saman fitnah: Rita Rudaini perlu fail pembelaan 6 April

Insta @ritrud727
Kedua-dua plaintif memfailkan saman terhadap Rita (gambar) yang didakwa telah menyiarkan beberapa hantaran berunsur fitnah merujuk kepada mereka melalui akaun Instagram dan WhatsApp. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pelakon Rita Rudaini perlu memfailkan pernyataan pembelaan bagi menjawab saman fitnah difailkan dua tokoh akademik yang mengetuai Badan Pemuafakatan Pendidikan MARA Malaysia (Muafakat), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar di Sabak Bernam, Selangor.

Saman itu difailkan Yang Dipertua Muafakat MRSM Sungai Besar Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor dan Naib Yang Dipertua Dr Saidah Haris @ Harith berhubung kenyataan didakwa berbaur fitnah, yang dikeluarkan Rita, atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad @ Mokhtar.

Advertisement

Peguam Datuk Adnan Seman yang mewakili kedua-dua plaintif memberitahu pemberita bahawa pada pengurusan kes hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Nixon Kennedy Kumbong telah mengarahkan Rita selaku defendan untuk memfailkan pernyataan pembelaan sebelum atau pada 6 April depan.

"Mahkamah telah menetapkan sebutan kes pada 13 April ini untuk mengemas kini status pemfailan pernyataan pembelaan," katanya yang turut memaklumkan prosiding hari ini dikendalikan peguam Haris Md Nor.

Sementara itu, peguam Mohd Syakirin Syazwan Mohd Nayan, yang mewakili Rita berkata pihaknya telah memfailkan memorandum kehadiran pada 9 Mac.

Pada 6 Dis 2025, kedua-dua plaintif memfailkan saman terhadap Rita yang didakwa telah menyiarkan beberapa hantaran berunsur fitnah merujuk kepada mereka melalui akaun Instagram dan WhatsApp khususnya pada status aplikasi itu yang dimiliki defendan. 

Antara kenyataan itu adalah berkaitan isu "prof kangkung" membabitkan pemimpin Muafakat berkenaan.

Mereka mendakwa kenyataan fitnah itu, yang telah diterbitkan di laman sosial peribadi plaintif, adalah tidak benar dan mendatangkan kerugian teruk kepada plaintif.

Kedua-dua plaintif mendakwa kenyataan defendan mempunyai unsur niat jahat apabila ingin menjatuhkan reputasi mereka, selain defendan mengambil langkah untuk melontarkan kenyataan fitnah tersebut secara semberono dan tanpa bukti kukuh.  

-- BERNAMA

Must Watch Video