KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan polis dan kerajaan untuk membatalkan saman yang difailkan ibu kepada model warga Belanda Ivana Esther Robert Smit, yang mayatnya ditemukan di balkoni tingkat enam sebuah kondominium, lima tahun lepas.

Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen selaku plaintif memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Dang Wangi ASP Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia selaku defendan atas dakwaan melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain ketika menyampaikan keputusan itu memutuskan kes tersebut tidak sesuai dibatalkan kerana terdapat persoalan serius yang perlu dihujahkan melalui perbicaraan penuh.

"Ini bukanlah suatu kes yang jelas serta sesuai untuk diputuskan melalui permohonan pembatalan. Pihak defendan mendakwa mereka mempunyai imuniti di bawah Akta Polis 1967 juga telah menimbulkan beberapa persoalan undang-undang yang serius, yang perlu dibicarakan," katanya.

Roz Mawar berkata ini bukan kes yang boleh ditentukan dengan jelas secara ringkas bahawa tuntutan plaintif tidak mampan.

"Selepas meneliti rayuan tersebut, mahkamah membuat kesimpulan bahawa terdapat kausa tindakan yang munasabah terhadap defendan. Saman plaintif bukanlah sesuatu yang remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah. Oleh itu, mahkamah menolak permohonan ini dengan kos RM5,000," katanya.

Mahkamah menetapkan 14 Disember untuk pengurusan kes.

Verstappen, 57, memfailkan saman itu pada 20 November 2020.

Pada 21 April 2021, Mahkamah Tinggi membatalkan saman plaintif atas alasan penyataan tuntutan tidak mematuhi Perintah 18, Peraturan 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan selepas mengemukakan rayuan, Mahkamah Rayuan mengembalikan saman itu.

Dalam penyataan tuntutan, Verstappen berkata anak perempuannya yang berusia 18 tahun itu ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence di sini pada 7 Dis 2017 selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.



MAHKAMAH-IVANA SMIT 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Beliau mendakwa polis melakukan kecuaian apabila gagal menutup lokasi kejadian, menyita barangan peribadi mangsa, mengumpul bukti serta gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy serta gagal menahan, mengekstradisi dan menjamin kehadiran kedua-duanya semasa inkues sebagai saksi utama.

Pada 18 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Ivana disebabkan misadventure (kematian akibat nahas).

Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner, Verstappen mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan pada 22 Nov 2019, Hakim Collin Lawrence Sequerah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner serta menggantikannya dengan 'kematian yang disebabkan oleh seorang individu atau beberapa individu yang tidak dikenali' dan memerintahkan Peguam Negara mengarahkan Polis Diraja Malaysia memulakan siasatan.

Peguam Kanan Persekutuan Mohd Azhar Hamzah mewakili kerajaan manakala peguam Datuk S.N. Nair, bagi pihak Verstappen.

Ketika ditemui selepas prosiding, Nair menyatakan beliau gembira dengan keputusan hari ini.

-- BERNAMA