ALOR SETAR: Sambutan Aidilfitri bagi lebih 100 keluarga di Kampung Tepi Laut, Tebengau di sini agak suram tanpa bekalan air mencukupi, yang didakwa sudah berlarutan sejak kira-kira tiga bulan lalu.

Penduduk mendakwa, masalah berkenaan semakin serius menjelang Aidilfitri dan ketika sambutan perayaan itu, apabila lori tangki yang sepatutnya menghantar bekalan air tidak masuk ke kawasan itu.

Penduduk mendakwa, masalah itu menyebabkan sambutan Hari Raya kurang meriah berikutan kesukaran untuk melakukan persiapan termasuk menerima tetamu dan berkunjung ke rumah jiran.

Pekerja swasta,  Amran Ibrahim, 53, berkata mereka bergantung sepenuhnya kepada penghantaran bekalan air melalui lori tangki ke rumah yang sebelum ini dijanjikan dua hari sekali.

Namun, dakwanya penghantaran air berkenaan tidak konsisten, malah tiada penghantaran dibuat ke kawasan mereka sejak beberapa hari sebelum Aidilfitri.

"Sudah lama masalah ini berlarutan. (Semasa bekalan diterima melalui lori tangki) macam ini angkut hari-hari laratkah? Setiap hari macam ini... masalah air tak selesai.

"Tengoklah, orang anak ramai (kehidupan lagi sukar sebab keperluan air lagi banyak... (terpaksa) pergi macam minta sedekah dengan jiran-jiran... umpama mengemis minta air," dakwanya ketika ditemui Astro AWANI.

Pekerja swasta, Norfatihah Abdul Talib, 25, pula berkata ketiadaan air ini menyusahkan penduduk melakukan kerja mencuci pakaian dan membersihkan diri.

Katanya, paling teruk dia serta penduduk lain terpaksa meminta air dari rumah jiran yang menerima bekalan air daripada lori tangki Syarikat Air Darul Aman (SADA), atau penduduk kampung lain untuk meneruskan aktiviti harian.

"Setiap kali raya, air memang tak ada... tapi selalunya mereka (SADA) akan hantar dengan lori, tapi sekarang mereka hantar tak cukup.

"(Ibarat) sebuah rumah dapat sebuah lagi tak dapat. Kena angkut (air) letak dalam besen... (kena) pergi basuh dekat rumah mak saudara hujung (kampung) sana," dakwanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Norhabibah Bakar, mendakwa pinggan di rumahnya sudah beberapa hari tidak bercuci malah bekalan air yang ada hanya cukup untuk anak-anaknya sahaja mandi.

"Pinggan di rumah dari sebelum raya tak cuci lagi. Angkut air kadang-kadang tak cukup untuk nak cuci... habuan anak-anak nak mandi sahaja... (saya) tak mandi (di rumah) sebab air tak ada...

"Terpaksa pergi ke rumah adik (untuk mandi)... kalau adik tak ada, maka tak mandilah," katanya.

Sementara itu, jurucakap SADA, ketika dihubungi berkata, masalah air di kampung itu yang berlarutan berpunca daripada projek penambahbaikan Loji Tadahan Air Pelubang yang mengambil masa untuk siap kira-kira lima bulan lagi.

Mengenai dakwaan penduduk lori tangki tidak membuat penghantaran air kebelakangan ini, katanya penghantaran dibuat di kawasan hadapan kampung dan pihaknya mengakui bekalan itu mungkin tidak mencukupi.

Justeru katanya, SADA berjanji akan menghantar bekalan air ke kampung berkenaan secara berperingkat.

Katanya, SADA turut meminta penduduk supaya membuat laporan ketiadaan air kepada Bahagian Aduan Bekalan SADA dan tindakan akan diambil dengan segera.

Katanya, sepanjang perayaan Aidilfitri, SADA telah membuka Pusat Khidmat Setempat (PKS) bermula 21 hingga 23 April 2023 bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

PKS ini bagi memudahkan penduduk di sekitar Kuala Kedah membuat aduan, mendapatkan maklumat terkini dan memperoleh bekalan air melalui tangki-tangki air yang ada disediakan sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri.