PUTRAJAYA: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan memperketat pemantauan dan penguatkuasaan dengan menempatkan anggota penguat kuasa di lokasi tumpuan sambutan Hari Kebangsaan 2026.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam sepanjang sambutan berkenaan.
“Orang ramai diingatkan bahawa kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007," menurut kenyataan itu.
Di bawah akta tersebut, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 serta dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sehingga maksimum 12 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan jika disabitkan kesalahan.
Antara bentuk khidmat masyarakat yang boleh diperintahkan termasuk kerja-kerja pembersihan seperti mengutip dan menyapu sampah serta membersihkan kawasan awam di bawah penyeliaan pihak berkuasa tempatan.
Menurut KPKT, setiap pengunjung bertanggungjawab memastikan sampah yang dihasilkan dibuang ke tempat yang disediakan sebelum meninggalkan lokasi sambutan.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan perlu diterjemahkan bukan sahaja melalui semangat patriotisme, tetapi juga disiplin dan tanggungjawab rakyat dalam menjaga kebersihan negara.
“Kita mahu rakyat Malaysia turun beramai-ramai menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh semangat dan rasa bangga. Selepas kita melaungkan ‘Merdeka’, janganlah kita tinggalkan sampah merata-rata.
"Cinta kepada negara bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang tetapi turut dibuktikan melalui sikap kita menjaga kebersihan negara dan meningkatkan imej negara," katanya dalam kenyataan sama.
Beliau berkata, pengalaman sebelum ini, termasuk ketika Dataran Merdeka dipenuhi sampah selepas tayangan perlawanan akhir Piala Dunia 2026, perlu dijadikan iktibar agar perkara sama tidak berulang.
“Kebersihan bukan tanggungjawab petugas pembersihan semata-mata. Sebaliknya, setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap sampah yang dihasilkan sendiri," katanya.
-- BERNAMA