SEREMBAN: Polis menahan sembilan lelaki termasuk dua pelajar sekolah kerana menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya di Lebuhraya Seremban-Port Dickson, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata kesemua mereka yang berumur 17 hingga 22 tahun ditahan oleh polis dari Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman menerusi Operasi Samseng Jalanan antara pukul 12.30 tengah hari dan 2 petang.

"Mereka melakukan aksi seperti berlumba atau bersaing sesama sendiri, membuat aksi zig-zag di lebuh raya, menunggang sambil meletak kaki atas motor (ala superman) dan aksi membongkok badan semasa menunggang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata semua mereka bersama motosikal masing-masing yang digunakan untuk melakukan aksi berkenaan dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

-- BERNAMA