Dua lelaki yang menghilangkan diri dan dikehendaki polis selepas menyamun dua buah kedai 7-Eleven empat bulan lalu, akhirnya diberkas pada Sabtu lalu.

Kedua-dua suspek berumur 23 dan 24 tahun itu diberkas sepasukan polis dari cawangan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak selepas membuat intipan hasil maklumat daripada orang awam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintenden Yahaya Hassan berkata, kedua-dua suspek yang diburu selama empat bulan itu di tahan di sebuah rumah di Taman Harumi, Langkap kira-kira jam 2.30 pagi.

“Dengan penahanan kedua-dua suspek ini, polis berjaya menyelesaikan dua kes samun ke atas 7-Eleven tersebut masing-masing di Taman Ros dan di Kawasan Perindustrian Anson di sini,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak pada Isnin.

Menurut Yahaya, dalam kes pertama di Taman Ros, suspek melarikan sebuah monitor komputer manakala dalam kes kedua yang dilakukan 30 minit kemudian, suspek melarikan mesin wang yang mengandungi wang tunai RM30 dari 7 Eleven di Kawasan Perindustrian Anson.

“Polis berterima kasih kepada orang awam yang bertanggungjawab memberikan maklumat sehingga berjaya menahan suspek yang diburu selama empat bulan yang lalu,” ujarnya.