IPOH: Dua lelaki disyaki bersenjatakan objek menyerupai pistol menyamun sebuah kedai emas di Taman Ipoh Jaya, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, penjenayah terbabit berjaya melarikan sejumlah barang kemas dan wang tunai dengan kerugian dianggarkan mencecah lebih setengah juta ringgit.

Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian samun itu itu pada jam 10.15 pagi.

Katanya lagi, siasatan awal mendapati suspek berkenaan telah mengacukan senjata menyerupai pistol kepada tiga orang mangsa pekerja kedai emas itu, ketika mereka mahu membuka kedai.

"Pasukan siasatan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dibantu oleh pasukan siasatan forensik dan bahagian D9 (siasatan khas), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah menyiasat di tempat kejadian.

"Kedua-dua suspek telah melarikan sejumlah barang kemas dan wang tunai anggaran nilai RM660,000.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (samun berkawan bersenjata)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata pihak polis sedang giat memburu dua orang suspek yang masih bebas.

Justeru katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes, ASP Fadli Ahmad di talian 019-2500019 untuk membantu siasatan pihak polis.

"Pada kesempatan ini, pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri dan harta benda agar tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Selain itu, pengusaha perniagaan berisiko tinggi seperti kedai emas dan institusi kewangan juga disarankan agar mempertingkatkan langkah keselamatan dan pencegahan jenayah di premis masing-masing.

"Di samping bekerjasama dengan pihak polis dalam inisiatif pencegahan jenayah," katanya.