Sany hargai hasrat KPM bina kelas tambahan di Bandar Seri Putera sebagai langkah segera

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (Tengah) ketika mengadakan tinjauan di Sekolah Menengah Bandar Seri Putera hari ini. - Facebook Sany Hamzan.
KUALA LUMPUR: Menjelang pembukaan musim persekolahan pada Isnin depan, Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan berharap agar pembinaan sekolah ketiga untuk pelajar peringkat menengah di Bandar Seri Putera dan Bukit Makhkota dapat disegerakan.
Pada masa sama beliau turut dimaklumkan, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek telah mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Bandar Seri Putera hari ini dan memaklumkan akan menyediakan kelas tambahan yang akan disiapkan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.
Beliau turut menyatakan menerima rungutan dalam kalangan ibu bapa berkenaan jumlah pelajar bagi sebuah kelas yang padat dan ramai.
“Tindakan segera telah diambil, dia (Fadhlina) akan tambah kelas tambahan, tambah guru dan dalam masa yang sama dia akan cuba bina kelas-kelas tambahan dalam tempoh tiga bulan agar dapat menampung pelajar di sekolah tersebut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Menurut Sany, lokasi sekolah yang sedia ada untuk menampung lebihan pelajar terletak 15 kilometer jauh dari kawasan tersebut iaitu di Jalan Reko dan Semenyih.
“Saya rasa ibu bapa akan ada masalah untuk urus anak-anak mereka termasuk melibatkan kos tambang bas dan sebagainya,” katanya.
Menurut, Sany Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat menyatakan sebuah kelas kini menempatkan sekurang-kurangnya 60 pelajar.
“Saya pun simpati dan memikirkan bagaimana anak-anak remaja ini nak belajar satu kelas sampai 60 orang,” katanya.
Tambahnya isu tersebut telah berulang kali dinyatakan dalam Dewan Rakyat dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pembinaan sekolah baharu ketika pembentangan Belanjawan 2026 tahun lalu.
Pada masa sama beliau menyeru pihak pemaju agar mengambil kira pembangunan menyeluruh melibatkan jalan raya, sekolah, masjid dan tanah perkuburan serta infrastruktur asas dan bukan sekadar memenuhi projek perumahan berskala besar.
“Ini yang sering saya bangkitkan di Parlimen isu pembangunan tidak sekata,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


