MALAYSIA
SARA tidak perlu sebarang pendaftaran - Teo

Teo berkata penjelasan itu dibuat berikutan terdapat hantaran dalam media sosial yang menyatakan bahawa pendaftaran perlu dilakukan untuk mendapat SARA. - Gambar fail
SHAH ALAM: Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekali bayar sebanyak RM100 tidak memerlukan sebarang proses pendaftaran kerana bantuan itu diterima secara automatik kepada mereka yang layak, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Ringkasan AI
- Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekali bayar sebanyak RM100 diberikan secara automatik kepada penerima yang layak tanpa perlu pendaftaran, menurut penjelasan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
- Individu yang belum genap 18 tahun tetapi akan mencapainya dalam tahun 2025 turut layak menerima bantuan melalui MyKad; kementerian belum menerima laporan terperinci mengenai hantaran palsu berkaitan pendaftaran SARA.
- Proses pendaftaran kad SIM prabayar akan menggunakan MyDigital ID bagi mengelakkan penyalahgunaan nombor untuk aktiviti tidak bermoral; karnival Kempen Internet Selamat (KIS) turut dilaksanakan melibatkan 107 SJKT di KL dan Selangor.
Beliau berkata demikian selepas perasmian karnival Kempen Internet Selamat (KIS) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Peringkat Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Teo berkata kementeriannya juga belum menerima laporan terperinci mengenai jumlah hantaran palsu yang diturunkan berkaitan pendaftaran SARA.
Di samping itu, beliau berkata mereka yang belum genap berusia 18 tahun pada 2025 masih boleh menikmati bantuan melalui MyKad itu yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lepas.
"Mungkin sekarang mereka berumur 17 tahun 10 bulan dan akan menyambut hari kelahiran dua bulan lagi, maka mereka juga layak," katanya.
Mengulas berhubung proses pendaftaran kad SIM prabayar di Malaysia yang akan menggunakan MyDigital ID sepenuhnya, Teo berkata langkah itu antaranya bertujuan mengehadkan pemilikan nombor prabayar bagi mengelakkan penyalahgunaan untuk aktiviti tidak bermoral termasuk penipuan.
"Jadi, kami rasa kalau menggunakan MyDigital ID, prosedur itu akan lebih lancar (termasuk log in tunggal dalam telefon)," katanya.
Terdahulu, Teo hadir dan beramah mesra dengan peserta dan pengunjung karnival KIS anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan sokongan serta kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Persatuan Guru Besar Tamil Malaysia.
Sebanyak 107 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor hari ini telah mengambil bahagian dalam karnival KIS yang dilaksanakan sebagai pendekatan strategik oleh MCMC dalam menjangkau lebih banyak sekolah bagi memastikan tiada sekolah yang terpinggir dalam program KIS.
Untuk rekod, setakat 1 Sept lepas, sebanyak 1,928 sekolah telah mengikuti modul KIS di seluruh negara dengan 144 sekolah adalah dari Selangor dan 76 dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, daripada jumlah berkenaan, 11 sekolah melibatkan SJKT dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami