Sarawak boleh pelajari pendekatan pembangunan lebuh raya mesra alam China

Uggah ketika ini mengetuai delegasi Sarawak bagi meninjau Lebuhraya Ekspres Yakang di Wilayah Sichuan, China untuk meneroka kaedah pembinaan jalan dan terowong lestari. - Foto UKAS
KUCHING: Sarawak boleh mengambil pengajaran daripada pendekatan China dalam mengimbangi pembangunan infrastruktur dengan pemeliharaan ekologi, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Ringkasan AI
- Sarawak boleh mencontohi pendekatan China yang berjaya mengimbangi pembangunan infrastruktur dengan pemeliharaan alam sekitar, terutama dalam projek lebuh raya, terowong dan jambatan.
- Delegasi Sarawak yang diketuai Datuk Amar Douglas Uggah Embas meninjau Lebuhraya Ekspres Yakang di Sichuan, China, untuk mempelajari kaedah pembinaan jalan dan terowong lestari di kawasan pergunungan.
- Projek Yakang menjadi contoh kejuruteraan moden yang selamat, cekap dan mesra alam, selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak.
Beliau ketika ini mengetuai delegasi Sarawak bagi meninjau Lebuhraya Ekspres Yakang di Wilayah Sichuan, China untuk meneroka kaedah pembinaan jalan dan terowong lestari yang sesuai dengan kawasan pergunungan serta sensitif alam sekitar di negara itu.
Lebuhraya Ekspres Yakang sepanjang 135 kilometer itu menghubungkan Bandar Ya'an dan Kangding di barat Sichuan, mendaki hampir 2,000 meter melalui lembah curam, zon gempa bumi serta kawasan berisiko hujan lebat dan digelar 'Pembinaan Lebuhraya Gunung Everest'.
Uggah berkata projek itu, yang diiktiraf di peringkat nasional kerana menggabungkan keselamatan, kecekapan dan perlindungan alam sekitar menjadi contoh bagi pembinaan lebuh raya lestari di kawasan pergunungan.
Beliau berkata lebuh raya itu selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, dan menegaskan Sarawak merancang untuk mengguna pakai pendekatan serupa dalam projek infrastruktur akan datang.
"Lebuhraya Ekspres Yakang menunjukkan bagaimana kejuruteraan moden boleh wujud seiring dengan alam semula jadi," katanya.
Delegasi itu turut melawat Kawasan Rehat Tianquan dan Muzium Lebuhraya Ekspres, dan mereka diberi taklimat mengenai penyelenggaraan, pengurusan operasi serta sistem pemantauan masa nyata.
Terowong Erlangshan sepanjang 13.4 kilometer antara lokasi utama yang dilawati, menembusi beberapa zon sesar gempa bumi dan mengurangkan masa perjalanan merentasi Gunung Erlang daripada sehari kepada hanya 15 minit.
Mereka turut meninjau Kumpulan Terowong Labahe serta Jambatan Luding Da Du He Xing Kang, yang mempamerkan teknologi terowong dan jambatan canggih yang meminimumkan kesan terhadap alam sekitar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


