KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan 1,216 kes baharu COVID-19, jumlah kes harian tertinggi pernah dicatatkan di negeri ini sejak penularan wabak itu pada Mac 2020.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata peningkatan mendadak ini dipercayai disebabkan beberapa faktor termasuk aktiviti perhimpunan sosial yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Punca peningkatan kes perebakan kes ini boleh dikaitkan dengan beberapa faktor termasuk aktiviti berkumpul secara sosial dan keluarga, majlis sambutan hari jadi atau perpisahan, majlis pengebumian dan tahlil, aktiviti sukan berkumpulan, bermesyuarat secara fizikal serta jangkitan di tempat kerja yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Dalam kenyataan itu beliau turut memaklumkan, masih terdapat ramai individu melepak di tempat awam dan berbual-bual di tempat makan tanpa memakai pelitup muka.

Selain itu, terdapat juga majikan yang masih enggan membenarkan pekerja mereka menjalani saringan atau bekerja dari rumah apabila mereka mempunyai gejala sehingga tercetusnya kluster di tempat kerja.

Dalam kenyataan sama, JKNS menekankan bahawa pembukaan sektor perniagaan dan peningkatan kadar tenaga kerja yang dibenarkan di tempat kerja merupakan langkah prihatin kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan sosial masyarakat sejajar dengan peningkatan kadar imunisasi COVID-19.

“Namun, kelonggaran yang diberikan bukanlah bermakna kita telah menang dalam memerangi COVID-19.

“Semua orang masih perlu mematuhi SOP dan sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam, mengamalkan penjarakan fizikal serta amalan kebersihan diri yang tinggi,” tegasnya.

Setakat hari ini, kes kumulatif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 84,603 kes yang mana 752 kes baharu dilaporkan di Bahagian Kuching, Bahagian Serian (236 kes) dan Bahagian Samarahan (101 kes).

Sementara itu, dua kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini masing-masing di Daerah Kuching dan Serian, didapati kedua-dua kes tersebut belum menerima imunisasi COVID-19 yang lengkap dan berkomorbid.