MALAYSIA
Sarawak Delta Geopark: Warisan geologi dan budaya

Len Talif (tengah) ketika hadir pada majlis makan malam sempena Misi Penilaian Lapangan UNESCO Sarawak Delta Global Geopark di Kuching malam tadi. - Facebook Len Talif
KUCHING: Sarawak Delta Geopark bukan sekadar landskap, ia merupakan arkib saintifik dan tapak warisan yang menceritakan kisah evolusi geologi Sarawak, biodiversiti dan penduduknya.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar negeri Datuk Len Talif Salleh berkata usaha Sarawak adalah selaras dengan falsafah Geopark Global Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bahawa warisan geologi mesti dilindungi, difahami dan digunakan secara lestari untuk manfaat semua.
"Pasukan kami telah berusaha gigih untuk memastikan pengurusan Geopark Delta Sarawak mencerminkan prinsip ini.
"Kami telah membina kerjasama dengan institusi akademik, melabur dalam infrastruktur geopelancongan, menyokong usahawan tempatan dan membangunkan program pendidikan untuk sekolah dan belia kerana kami menyedari bahawa penjaga tanah ini pada masa depan ialah mereka yang duduk di bilik darjah hari ini.
"Dan seperti batu-batu yang menceritakan kisah menerusi masa, kami juga berharap untuk menceritakan kisah Sarawak, yang inklusif, pelbagai dan berdaya tahan," katanya pada makan malam sempena Misi Penilaian Lapangan UNESCO Sarawak Delta Global Geopark di sini, malam tadi.
Len Talif yang juga Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu bagi Sarawak Delta Geopark berkata penilaian itu ialah permulaan baharu, sama ada dianugerahkan status Geopark Global UNESCO atau tidak, proses itu sendiri telah pun membawa perubahan kepada Sarawak.
"Ia telah memperdalam pemahaman kita tentang tanah, menghimpunkan pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor dan mengukuhkan keazaman untuk memelihara landskap semula jadi dan budaya yang unik ini.
"Tetapi sudah tentu, kami berharap dan percaya bahawa Sarawak Delta Geopark akan menyertai rangkaian 229 Geopark Global UNESCO di seluruh dunia tidak lama lagi. Kami bersedia dan kami komited," tambahnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami