Majlis Keselamatan Negara Negeri Sarawak mengenal pasti tujuh titik panas COVID-19 di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, lokasi panas tersebut ialah Kuching, Serian, Betong, Sarikei, Bintulu, Miri dan Limbang.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sarawak menjelaskan, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan hospital-hospital swasta untuk melaksanakan saringan dan ujian jangkitan COVID-19.

"Perbincangan telah diadakan dengan pihak Pusat Rawatan Borneo, Pusat Rawatan Timberland, KPJ dan Pusat Rawatan Pakar Normah.

"Ini untuk melebarkan keupayaan kita dalam menangani situasi ini," katanya dalam sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat majlis itu pada Sabtu.

Abang Johari turut menasihatkan semua penduduk Sarawak agar duduk di rumah dan tidak menularkan berita tidak benar, atau tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Sehingga Jumaat, Sarawak merekodkan 58 kes positif Covid-19 dan satu kematian.