KUCHING: Sarawak perlu terus memperluas kerjasama strategik dengan pakar dari dalam dan luar negara bagi merealisasikan hasrat menjadi pencipta teknologi dan keluar daripada kepompong sebagai wilayah berasaskan teknologi rendah, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata negeri itu tidak boleh lagi sekadar menjadi pengguna atau pemasang teknologi semata-mata, sebaliknya perlu beralih kepada peranan sebagai pereka dan pencipta teknologi bernilai tinggi bagi memastikan daya saing jangka panjang.
Advertisement
“Jalan ke arah menjadi pencipta teknologi bukanlah mudah kerana ia memerlukan ramai tenaga pakar dan kos penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang tinggi.
“Di samping itu, Sarawak perlu banyak bekerjasama dengan pakar di dalam dan luar negara untuk mencapai impian ini,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina 2026 pada Ahad.
Beliau berkata kejayaan awal Sarawak melalui SMD Semiconductor dalam menghasilkan cip sebatian berasaskan Gallium Nitride (GaN) yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) membuktikan kemampuan negeri itu untuk bergerak ke hadapan dalam rantaian nilai industri semikonduktor.
Abang Johari berkata kerjasama dengan CSA Catapult di United Kingdom membolehkan penyelidikan dijalankan di Cardiff hingga menghasilkan cip GaN yang digunakan dalam peranti Keteq AI bagi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga elektrik.
Selain itu, beliau berkata Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai antara SMD Semiconductor, Yayasan Sarawak dan University of Bristol bagi memperkukuh kolaborasi dalam bidang penyelidikan, pembangunan teknologi serta pembangunan modal insan sebagai langkah memperkasakan ekosistem teknologi tinggi negeri itu.
Dalam pada itu, premier turut menyeru rakyat Sarawak agar mengambil semangat perayaan Tahun Baharu Cina untuk memperbaharui komitmen dalam membina negeri yang terus stabil dari segi sosial serta maju dalam bidang ekonomi dan teknologi.
Pada masa sama, beliau memohon maaf kepada masyarakat Cina kerana tidak dapat mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina pada tahun ini berikutan pemergian isteri beliau, Allahyarham Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang pada Jun tahun lepas.
-- BERNAMA