NEW DELHI: Kerajaan baharu Bangladesh dan Ahli Parlimen akan mengangkat sumpah pada Selasa ini.
Presiden Mohammed Shahabuddin akan mengendalikan upacara angkat sumpah jawatan bagi perdana menteri baharu dan anggota Kabinetnya di Jatiya Sangsad (parlimen kebangsaan), lapor agensi berita rasmi Bangladesh Sangbad Sangstha pada Ahad.
Advertisement
Ahli Parlimen yang baru dipilih akan mengangkat sumpah pada sebelah pagi manakala menteri baharu akan mengangkat sumpah kemudian pada hari yang sama.
Beberapa orang kenamaan asing dijangka menghadiri upacara itu.
Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang diterajui Tarique Rahman mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya umum ke-13 yang diadakan pada Khamis lepas.
Tarique, 60, anak kepada bekas perdana menteri Khaleda Zia dan bekas presiden Ziaur Rahman, kembali ke Bangladesh dari Britain pada Disember lalu selepas 17 tahun hidup dalam buangan.
Tarique menyifatkan kemenangan pilihan raya partinya sebagai titik perubahan bagi Bangladesh.
-- BERNAMA