KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyeru masyarakat Cina di negeri itu menjadi rakan strategik kerajaan negeri dalam membina Sabah yang progresif.
Menerusi kenyataan Pejabat Ketua Menteri pada Ahad, Hajiji menggesa masyarakat Cina menjadi rakan kongsi dalam pembangunan dan terus mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan negeri.
Advertisement
Beliau berkata aspirasi kerajaan negeri adalah untuk memperkasakan lagi Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) bagi memacu pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.
“Menerusi SMJ 2.0, kita dapat memastikan kemajuan ini adalah inklusif untuk semua dan kemakmuran negeri dinikmati secara inklusif tanpa mengira kaum dan latar belakang rakyat, kerana perpaduan ialah kunci kepada kestabilan dan kemakmuran negeri ini,” menurut kenyataan itu.
Hajiji berkata Tahun Baharu Cina yang menerapkan nilai kekeluargaan, perpaduan dan harapan baharu, bukan sahaja mencerminkan kekayaan warisan budaya masyarakat Cina tetapi juga menjadi platform untuk mengukuhkan keharmonian dan semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk berbilang kaum di Sabah.
"2026, yang disambut sebagai Tahun Kuda Api, membawa simbol tenaga, keberanian dan inovasi. Semangat ini memberikan inspirasi kepada kami untuk terus maju dengan perancangan tersusun dan kerjasama erat bagi pembangunan Sabah yang mampan dan seimbang.
“Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada masyarakat Cina di Sabah khususnya dan seluruh negara amnya, Gong Xi Fa Cai,” katanya.
-- BERNAMA