KUCHING: Sarawak kini bersiap siaga menghadapi musim Monsun Timur Laut yang telah bermula sejak 11 Nov lepas dan dijangka berakhir pada Mac tahun hadapan.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) itu Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata JPBN mempunyai kekuatan sumber manusia seramai 5,501 anggota dalam menghadapi keadaan cuaca bermusim itu.

"JPBN Sarawak menerusi Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut dibantu dengan kekuatan aset logistik sebanyak 487 aset darat, 249 aset laut dan sungai, 12 aset udara dan 207 aset sokongan.

"Aset-aset ini dan anggota akan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dalam menghadapi musim monsun ini. Sebanyak 70 buah bot fiber juga telah diagihkan ke seluruh Bahagian bagi membantu usaha pemindahan mangsa-mangsa banjir sekiranya diperlukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Uggah berkata dari segi bekalan bantuan bencana, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah memastikan kapasiti yang mencukupi di semua depo simpanan, setor pejabat dan juga di pangkalan hadapan.

"Sebanyak 627 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang boleh menempatkan seramai 162,091 mangsa bencana juga telah bersiap sedia untuk digunakan dan dapat diaktifkan pada bila-bila masa," katanya.

Beliau berkata APM Sarawak juga telah menyediakan sebanyak 4,000 peket makanan sebagai bantuan tambahan untuk diagihkan kepada mangsa bencana.

Tambahnya sebanyak 154 kawasan berisiko banjir telah dikenal pasti dan sepanjang tempoh MTL ini, enam episod hujan lebat dijangka berlaku.

-- BERNAMA