Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) telah membawa perubahan besar kepada kehidupan masyarakat luar bandar di negeri ini sejak dilancarkan pada Jun 2016, kata syarikat tenaga negeri, Sarawak Energy.

Ia berkata SARES yang menggunakan sumber tenaga boleh baharu seperti suria dan hidro-mikro di pedalaman Sarawak adalah satu inisiatif di bawah Pelan Induk Elektrifikasi Luar Bandar Sarawak yang berjaya memperluaskan bekalan elektrik kepada 93 peratus populasi negeri ini setakat tahun lepas.

"Inisiatif bersepadu kerajaan negeri yang disokong Sarawak Energy menyasarkan untuk menyediakan bekalan elektrik 24 jam menerusi kemajuan di dalam teknologi tenaga alternatif kepada masyarakat di pedalaman yang amat sukar dan mengambil banyak masa untuk dihubungkan dengan grid elektrik utama, katanya dalam satu kenyataan.

Kejayaan terkini SARES ialah pelaksanaannya di empat rumah panjang di Sebauh, sebuah daerah pedalaman dalam Bahagian Bintulu dan upacara penyerahan sistem itu disempurnakan oleh Menteri Utiliti negeri Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, baru-baru ini.

Bercakap pada majlis itu, beliau berkata SARES merupakan sebuah hadiah daripada kerajaan negeri kepada penduduk luar bandar yang tidak mempunyai akses sama seperti utiliti di bandar dan di bawah sistem ini setiap isi rumah disediakan dengan 3,000 watt sejam tenaga elektrik boleh baharu, mencukupi untuk pencahayaan asas dan menjalankan alat keperluan rumah.

Dr Rundi berkata di bawah Pelan Induk Elektrifikasi Luar Bandar Sarawak, Kerajaan Negeri Sarawak memperuntukkan RM2.37 bilion untuk tempoh 2019-2020 bagi menyegerakan pelaksanaan projek elektrifikasi sejajar dengan sasaran mencapai liputan bekalan elektrik sepenuhnya di dalam negeri menjelang 2025.

Bagi Bahagian Bintulu, SARES telah menghubungkan 17 kampung di Sebauh dan 18 kampung di Tatau, menerangi 607 isi rumah dengan 3,300 penghuni.

Beliau berkata 21 lagi projek masih lagi berjalan di daerah berhampiran Tatau dan dijangka siap awal tahun hadapan.

Pada penghujung tahun ini, SARES dijangka akan memberi manfaat kepada 5,100 penduduk di Bahagian Bintulu dengan bekalan elektrik boleh baharu yang boleh diharapkan selama 24 jam.

-- BERNAMA