PUTRAJAYA: Malaysia perlu mengorak langkah daripada sekadar kempen kesedaran, dengan memperkenalkan saringan awal yang sistematik bagi menangani anemia kekurangan ferum atau zat besi (IDA) dalam kalangan kanak-kanak, yang telah menjejaskan seorang daripada tiga kanak-kanak di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan (JKP) Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat, Yeo Bee Yin berkata, tahap kesedaran mengenai IDA masih rendah termasuk dalam kalangan pembuat dasar dan pihak berkepentingan kesihatan, meskipun ia boleh memberikan kesan besar terhadap perkembangan kanak-kanak.
Beliau berkata, dapatan saringan yang dijalankan dalam kalangan kanak-kanak daripada isi rumah berpendapatan rendah di Puchong menunjukkan kira-kira separuh penerima program berisiko mengalami kekurangan zat besi, sekali gus menunjukkan perlunya rutin saringan di seluruh negara.
“Menjadikan saringan IDA sebagai mandatori, khususnya melalui klinik dan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer, boleh mengubah landskap pemakanan kanak-kanak di Malaysia.
“Ramai ibu bapa mungkin tidak menyedari keadaan ini, tetapi jika saringan menjadi sebahagian daripada rutin penjagaan kesihatan, lebih ramai kanak-kanak dapat dikenal pasti dan dirawat lebih awal,” katanya.
Gesaan itu diketengahkan pada program Arena Generasi Kuat Zat Besi di sini semalam, yang dianjurkan di bawah inisiatif Iron Strong Generation oleh Dumex Dugro, menghimpunkan pembuat dasar, profesional kesihatan dan penyelidik bagi menekankan keperluan intervensi lebih kukuh, termasuk saringan IDA.
Ahli Parlimen Puchong itu berkata, kekurangan zat besi yang tidak dikesan boleh menyumbang kepada ketidaksamaan dalam kalangan kanak-kanak, kerana pemakanan yang tidak mencukupi pada peringkat awal tumbesaran boleh menjejaskan perkembangan kognitif, keupayaan pembelajaran dan masa depan mereka.
Beliau turut mengulangi cadangan jawatankuasa itu supaya akses kepada susu dan produk pemakanan untuk kanak-kanak dipertingkatkan, kerana pemakanan yang seimbang amat penting bagi memastikan setiap kanak-kanak mempunyai peluang yang sama untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran Danone Malaysia dan Singapura, Yek Pek Kuan berkata, syarikat mengambil langkah sewajarnya selepas Iron Strong Study pada 2023 mendapati seorang daripada tiga kanak-kanak Malaysia berisiko mengalami IDA, dengan 90 peratus tidak menunjukkan simptom yang jelas.
“Mungkin kita terlepas pandang dengan Isu IDA. Kekurangan zat besi boleh memberikan kesan jangka panjang terhadap perkembangan otak kanak-kanak, keupayaan memproses maklumat, fokus dan pembinaan kemahiran asas kognitif,” katanya.
Yek berkata syarikat itu telah memperluas usaha untuk mendekati komuniti, bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan, serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan saringan bukan invasif sebagai sebahagian usaha merapatkan jurang antara kesedaran dan tindakan.
Beliau berkata, pemain badminton beregu lelaki negara Nur Izzuddin Rumsani telah dilantik sebagai duta jenama Dumex Dugro bagi menggalakkan ibu bapa mengambil langkah proaktif memantau status zat besi anak-anak mereka.
Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Dr Sri Wahyu Taher menekankan kepentingan zat besi dalam perkembangan otak dan fungsi neurologi, khususnya semasa zaman kanak-kanak.
Beliau berkata, zat besi penting bagi pembentukan hubungan neural dan laluan komunikasi dalam otak, dengan kekurangannya boleh menjejaskan daya ingatan, tumpuan, keupayaan penaakulan dan prestasi pembelajaran.
Zat besi juga penting untuk pertumbuhan fizikal, perkembangan otot dan kesihatan keseluruhan, sekali gus menjadikan pengesanan awal dan intervensi penting bagi memastikan kanak-kanak mencapai potensi perkembangan sepenuhnya.
-- BERNAMA