KUALA LUMPUR: Sebanyak 55,169 penjawat awam yang menjalani saringan Sistem Profil Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD) dikategorikan sebagai berisiko tinggi termasuk mempunyai kecenderungan tingkah laku bunuh diri.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata dapatan itu menunjukkan aspek kesejahteraan psikologi perlu diberikan perhatian menyeluruh termasuk intervensi terhadap masalah melalui pendekatan pencegahan dan pembinaan daya tahan individu.
“Dalam konteks perkhidmatan awam, ketua jabatan perlu menyediakan sistem sokongan sewajarnya bagi memelihara kebajikan dan kesejahteraan pekerja yang menjadi aset penting negara.
“Kerajaan sebagai majikan misalnya telah menyediakan pelbagai bentuk sokongan psikososial termasuk penambahbaikan skim perkhidmatan, gaji, elaun serta kemudahan menerusi pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menyuntik motivasi untuk lonjakan prestasi kerja,” katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam 2026 (PSYCON 2026) di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail.
Wan Ahmad Dahlan berkata kerajaan turut mengambil inisiatif memperkenalkan pendekatan kerja lebih fleksibel menerusi Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) yang dilaksanakan sejak 1 Ogos bagi memastikan keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan.
Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga sedang giat membangunkan Garis Panduan Kesihatan Mental Perkhidmatan Awam sebagai usaha menyediakan strategi pengurusan kesejahteraan psikologi yang lebih menyeluruh.
“Indeks Kebahagiaan Penjawat Awam akan diperkenalkan sebagai instrumen penting untuk mengukur dan menilai tahap kesejahteraan psikologi penjawat awam secara lebih komprehensif.
“Antara usaha pemerkasaan lain termasuk penawaran kursus berimpak tinggi bertaraf sijil profesional, Program Swadaya serta Leadership Enhancement and Acceleration Programme (LEAP) bagi melonjakkan kompetensi dan profesionalisme dalam kalangan pegawai psikologi,” katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata JPA sedang melaksanakan kajian hala tuju dan pemerkasaan Skim Perkhidmatan Psikologi bagi memastikan perkhidmatan itu terus relevan serta mampu mendepani perubahan selain memperkukuh pembangunan akademik melalui Program Swadaya, khususnya bagi meningkatkan bilangan pegawai psikologi yang memiliki kelayakan peringkat sarjana.
“Iltizam JPA adalah untuk melihat perkhidmatan psikologi tidak hanya sebagai perkhidmatan sokongan tetapi sebagai penggerak utama dalam memperkukuh kesejahteraan dan pemerkasaan sumber manusia di samping membina keupayaan psikologi yang kukuh dalam sektor awam,” katanya.
PSYCON 2026 yang bertemakan “Psikologi Memperkasakan Insan, Mencorak Masa Hadapan” menghimpunkan lebih 500 peserta daripada pelbagai kementerian, jabatan serta agensi kerajaan bagi membincangkan isu berkaitan kesejahteraan psikologi dan cabaran psikososial dalam perkhidmatan awam.
-- BERNAMA