LUMUT: Seorang anggota polis berpangkat sarjan mejar mengalami kecederaan parah selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan beberapa jam sebelum majlis perkahwinannya, di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lelaki berusia 38 tahun itu yang bertugas di Kontinjen Pahang dan sedang bercuti kini berada dalam keadaan kritikal menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.45 pagi.

"Sewaktu kejadian, mangsa dalam tempoh bercuti. Dia sepatutnya berkahwin pada 23 Januari (semalam) di rumah keluarganya di Ayer Tawar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis masih menyiasat lanjut kejadian itu.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor N. Ravinthiran di talian 019-6508489 untuk membantu siasatan.

Mohd Yusri turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan maklumat tidak sah berkenaan kejadian itu.