KEMAMAN: Seorang anggota polis berpangkat sarjan patah bahu kanan selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di Jalan Dato di Chukai, di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Hanyan Ramlan berkata dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu anggota wanita berusia 36 tahun berkenaan dalam perjalanan ke tempat kerja di Bandar Chukai.

Katanya sejurus tiba dilokasi kejadian motosikal mangsa telah bergesel dengan Proton Saga yang dipandu suspek berusia 51 tahun.

"Ketika kejadian suspek dikatakan sedang mengekori kenderaan yang dipandu ibu mentuanya selepas insiden pertengkaran di antara mereka.

"Suspek cuba memotong kenderaan dengan memandu secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain sebelum terlibat dalam kemalangan terbabit," katanya.

Suspek sebelum itu dikatakan telah bertengkar dengan ibu mentuanya, dipercayai disebabkan oleh isu perebutan harta di sebuah rumah di Jalan Dato, dekat sini.

Hanyan berkata, dalam pertengkaran itu, suspek telah mengeluarkan sebatang kayu dan bertindak mengetuk bonet hadapan serta bumbung kereta ibu mentuanya sehingga kemik.

"Ibu mentuanya yang ketakutan masuk ke dalam kereta dan memandu ke Balai Polis Chukai untuk mendapatkan pertolongan.

"Dalam perjalanan, suspek mengekori ibu mentuanya dan cuba memotong dengan cara berbahaya sehingga merempuh motosikal (ditunggang) anggota polis wanita yang datang dari arah bertentangan," katanya lagi.

Anggota polis berpangkat sarjan berusia 36 tahun itu telah dikejarkan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut. - Foto PDRM

Jelasnya, susulan kejadian itu mangsa telah terjatuh ke atas jalan raya dan menyebabkan kecederaan parah pada bahu kanan dan dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata suspek telah berjaya ditahan di kawasan Ibok, Kemaman kira-kira jam 2.15 petang selepas gagal melarikan diri lebih jauh kerana kereta yang dinaikinya rosak dan tersadai di tepi jalan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu dan merbahaya, Seksyen 427 Kanun Keseksaan melakukan khianat serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.