KUALA LUMPUR: Sasaran RM143.9 bilion kutipan cukai bagi 2021 oleh kerajaan mampu dicapai menerusi penerokaan peluang-peluang baharu, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Menteri Kewangan itu, terdapat banyak ruang yang boleh diteroka oleh LHDN bagi meningkatkan lagi prestasi kutupan dengan memperluaskan jaringan pembayar cukai yang berpotensi.

Mengenal pasti industri dan sektor yang selama ini menjauhkan diri daripada radar LHDNM, kata beliau, merupakan antara segmen yang boleh diteroka.

Dalam masa sama, Tengku Zafrul merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan LHDN kerana berjaya mengharungi segala rintangan dan cabaran dengan cekal dan penuh dedikasi khususnya ketika mengharungi dugaan semasa pandemik COVID-19.

Katanya, ketika negara dibelenggu krisis kesihatan, masih terdapat banyak industri dan sektor yang tidak terjejas malah ada yang berjaya buat keuntungan besar.

Justeru, LHDN yang mengharungi cabaran sepanjang 2020  berjaya merekodkan jumlah kutipan cukai sebanyak RM123.092 bilion iaitu RM1.392 bilion atau 1.14 peratus lebih tinggi daripada sasaran yang ditetapkan kerajaan iaitu RM121.7 bilion.

"Kejayaan memperolehi jumlah kutipan cukai disasarkan ini buktikan bahawa, walaupun dalam suasana pandemik, masih terdapat industri yang tidak terjejas malah ada yang buat keuntungan besar.

"Namun kita bersyukur mereka (industri dan masyarakat) memainkan peranan yang baik menyumbang dalam bentuk cukai yang dibayar demi menstabilkan ekonomi negara," katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Hasil ke-25 secara dalam talian pada Isnin.

BACA: LHDN kutip RM123.093 bilion cukai langsung tahun 2020