KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan sejarah baharu apabila berjaya melancarkan satelit A-SEANSAT-PG1 pada jam 7.36 malam waktu Malaysia.

Pelancaran A-SEANSAT-PG1 di Kosmodrom Vostochny, Rusia menggunakan roket Soyuz-2 itu turut disaksikan secara langsung oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) Gs. Azlikamil Napiah.

Siaran langsung di empat lokasi di Malaysia itu membabitkan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang; Pejabat MYSA, Kuala Lumpur; Pejabat GreenPro, Kuala Lumpur; dan Ibu Pejabat Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Kuching.

Menurut Dr Sean Seah,Pengarah Urusan Kumpulan Angkasa-X,  pelancaran satelit ini membawa kepada era baharu dalam perkembangan ekonomi angkasa lepas bagi rantau ASEAN.

“Kesalinghubungan menjadi keperluan utama dan ketika ini masih banyak pengguna di rantau ASEAN belum terhubung menerusi internet.

“Justeru, menerusi teknologi angkasa lepas, kita mampu menjadi penghubung untuk menjana ekonomi baharu buat Malaysia,” katanya lagi.

Dengan pelancaran satelit PG1, ANGKASA-X akan memanfaatkan pengetahuan teknologinya ke arah pembentukan gugusan satelit 'Low-Earth-Orbit' (LEO) yang akan direka cipta dan dipasang di Malaysia dalam tahun akan datang.

Gugusan satelit ini akan bekerjasama dan berintegrasi untuk menawarkan perkhidmatan 'Satellite-as-a-Service' (SaaS) yang inovatif kepada negara-negara di ASEAN.