Satu bot bagi setiap rumah yang berisiko dilanda banjir bukan langkah persiapan awal yang berkesan dalam menghadapi bencana itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebaliknya menjelaskan semua penduduk terlibat dengan banjir dinasihatkan memilih untuk berpindah lebih awal jika diarah pihak berkuasa.

"Tidak perlu (sediakan bot di rumah). Bagi kita, kita mengajar dan mendidik supaya berpindah sebelum air naik. Kebanyakan mereka ini ada kereta dan motosikal. Kita sudah beritahu awal mana tempat berpindah.

"Jadi kalau nak selamat berpindahlah. Jadi bawalah kereta ke tempat selamat dan jauh. Kalau tidak, nak pindah bot masa air sudah naik, kereta mereka akan rosak di situ. Malah, tiada perlindungan insurans," katanya semasa ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara di Menara Pertubuhan Peladang di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun mengakui pihak berkuasa berdepan cabaran untuk memastikan mangsa banjir untuk berpindah lebih awal.

"Nak ajar itu suatu perkara yang sulit sebab kalau nak tunggu air naik atas bumbung baru nak pindah dan mulalah dia (mangsa) kata mana bot, mana penyelamat dan mereka akan menyalahkan orang. Jadi soal menjaga diri dan keluarga bermula dari diri sendiri," katanya lagi.

Dalam pada itu, mengulas langkah menjadikan kaedah pengurusan banjir di Kemaman sebagai penanda aras menghadapi bencana itu seluruh negara, beliau menjelaskan, setiap persediaan awal perlu bermula daripada peringkat bawah.

"Ramai orang mereka fikir kesalahan di peringkat atas, mana helikopter dan sebagainya. Namun, kalau tiada persediaan dari bawah, mana helikopter nak mendarat, mana nak simpan barang makanan dan sebagainya.

"Kalau dilihat di Kemaman, ia telah dimulakan sekarang. Kita ada 74 pusat pemindahan yang boleh menampung 40,000 orang. Semua kita sudah lakukan daripada sekarang," kata Ahli Parlimen Kemaman itu.


Malah, jumlah ibu yang bakal melahirkan anak semasa banjir berkenaan juga diambil perhatian pihaknya.

"Misalnya berapa ramai ibu mengandung yang kemungkinan berlaku kelahiran pada November hingga Januari. Apa jua bentuk bantuan awal inilah yang kita telah lakukan. Kaedah ini boleh dikongsi dengan tempat lain," jelasnya.

Ditanya mengapa cara pengurusan banjir di Kemaman dipilih untuk digunapakai di semua kawasan banjir ini jawapan beliau:

"Kemaman dalam banjir lepas, ia paling tinggi menerima mangsa banjir berpindah. Ada 32,000 orang yang berpindah tetapi Alhamdulillah tidak banyak isu yang timbul sebab persiapan awal. Jadi inilah yang akan
dikongsi," ujar beliau lagi.