KUCHING:Kluster Wisma Saberkas diisytiharkan sebagai kluster baharu COVID-19 di Kuching selepas mencatatkan pertambahan tiga kes positif hari ini.

Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 kluster ini meningkat kepada lapan kes termasuk kes indeks.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata kluster ini melibatkan dua premis dalam bangunan Wisma Saberkas.

“Kes mula dikesan apabila kes ke-866 menjalani saringan kendiri pada 26 Oktober kerana mengalami demam dan batuk. Kes (pesakit) terlibat berusia dalam lingkungan 13 hingga 37 tahun, di mana satu kes merupakan ahli keluarga dan enam kontak di tempat kerja.

“Siasatan lanjut dan pengesanan kontak kepada kluster ini sedang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dengan kerjasama agensi di bawah JPBNS untuk mengelak berlakunya perebakan lebih serius,” kata Uggah.


Katanya, setakat ini, 130 individu telah disaring menyaksikan lapan kes disahkan positif COVID-19, manakala 10 individu negatif selain 112 orang masih menunggu keputusan ujian makmal.

Pertambahan kluster ini menjadikan Sarawak ketika ini merekodkan enam kluster aktif termasuk Kluster Bah Arnab, Kluster Greenhill, Kluster Seladah, Kluster Baki dan Kluster Putra.

Sementara itu, 14 kes positif dilaporkan di Kuching menjadikan jumlah kes kumulatif di Sarawak meningkat kepada 906 kes.

Lima kes baharu melibatkan Kluster Greenhill, Kluster Wisma Saberkas (tiga), saringan kendiri (empat) dan satu kes masing-masing merupakan kes import B dan kes saringan masuk ke tempat kerja melibatkan warga Indonesia.