Identiti mayat seorang lelaki mangsa nahas bas di Genting Highlands yang sebelum ini menjadi misteri, hari ini dikenal pasti sebagai Lai Kuan Peng, 53.

Ia disahkan adik mangsa, Lai Kuan Yong, 52, yang datang ke bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini pada kira-kira 3 petang ditemani isteri, Chong Sooi Ngan, 43, dan adik lelakinya, Lai Chi Meng, 45.

Kuan Yong berkata beliau mengenal pasti mayat itu adalah abangnya melalui gambar baju dan kunci kereta yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Cina semalam.

"Abang saya yang tinggal bersama ibu bapa kami di Rawang sudah tiga hari tidak pulang ke rumah. Oleh kerana tiada sebarang maklumat seperti nama disiarkan di akhbar, saya tidak menyangka dia terlibat dalam kemalangan itu," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata mendiang bekerja sebagai penyelia kilang besi milik Chi Meng serta kerap berulang-alik ke Genting Highlands dan meletak kenderaannya di Rawang sebelum mengambil perkhidmatan bas untuk ke pusat peranginan itu.

Kuan Yong berkata abangnya ke Genting Highlands bersama rakan baik mendiang, Chan Ah Hua, 62, yang turut maut dalam nahas itu.

Kali terakhir beliau bertemu abangnya yang masih bujang itu ialah kira-kira dua minggu lepas.

"Ibu bapa saya telah diberitahu mengenai perkara ini dan mereka kini dalam perjalanan dari Pahang kerana ada urusan kerja," katanya sambil menambah mayat mendiang akan dibawa ke tanah perkuburan Cina Persatuan Kwong Tong Kuala Lumpur untuk disemadikan.

Terdahulu, HKL menyatakan 28 mayat mangsa nahas terbabit telah dituntut anggota keluarga masing-masing manakala baki sembilan belum dituntut, termasuk dua yang masih gagal dikenal pasti.
Berikutan perkembangan terbaharu ini, kini tinggal seorang lagi mangsa -- seorang wanita dipercayai berbangsa Afrika -- yang belum dikenal pasti identitinya.

Nahas bas yang terjunam 60 meter ke dalam gaung itu meragut 37 nyawa, termasuk pemandu, serta mencederakan 16 yang lain.