SITIAWAN: Seorang maut, tujuh cedera apabila sebuah kereta bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Kayan, dekat sini, hari ini.

Mangsa, seorang wanita yang merupakan penumpang hadapan kereta berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketika kejadian, mangsa menaiki kereta jenis Proton Persona yang dipandu suaminya bersama dua anak lelaki mereka.

Suami dan dua anak mangsa turut cedera, di samping empat orang yang menaiki pacuan empat roda.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 5.32 petang.

“Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan telah bertembung menyebabkan tujuh orang mangsa mengalami kecederaan manakala seorang mangsa telah tersepit di tempat penumpang di dalam kereta Proton Persona,” katanya di sini.

Menurut jurucakap itu lagi, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan manakala beberapa mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke hospital.

Katanya, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkan mereka kepada pihak hospital dan polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Razlan Dimyati tamat jam 7.24 malam.