Skip to main content

Malaysia

'Saya baru keluar hospital, perlukan duit jalani rawatan' - Suami Azar Azmi rayu kurangkan jaminan

Suami Azar Azmi, Mohd Apri Hazreen dibawa ke Mahkamah Seremban untuk pertuduhan kali pertama pada Mac lalu.
Suami Azar Azmi, Mohd Apri Hazreen dibawa ke Mahkamah Seremban untuk pertuduhan kali pertama pada Mac lalu. -Foto Sinar Harian

SEREMBAN: Suami kepada pelakon Azar Azmi memohon pertimbangan mahkamah untuk mengurangkan wang jaminan RM25,000 yang dikenakan terhadapnya sebelum ini kerana memerlukan wang untuk menjalani rawatan kesihatan dan menanggung anak-anak.

Permohonan itu dibuat Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri,41, di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam ketika prosiding sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Advertisement

Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan keadaan sebelah kaki yang terhincut-hincut memberitahu bahawa dia baharu keluar dari hospital.

"Saya sebenarnya baharu keluar dari hospital. Kalau boleh saya nak minta jaminan dikurangkan kerana saya perlu menggunakan duit untuk buat ekokardiogram dan angiogram.

"Saya dah tanya hospital, kos untuk prosedur tersebut antara RM9,000 ke RM10,000. Saya juga perlu duit untuk perbelanjaan anak-anak kerana tiada siapa yang tanggung," katanya.

Dia turut mengakui baharu menjalani pembedahan penyakit gout selain memohon tempoh untuk melantik peguam serta memaklumkan bersedia mengikut setiap syarat-syarat yang ditetapkan oleh mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal memohon mahkamah mengekalkan jumlah jaminan tersebut kerana kes dilakukan merupakan jenayah komersial yang serius.

Ujarnya, mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan individu.

Malah katanya, sehingga kini tiada sebarang bukti dikemukakan oleh tertuduh berkenaan sakit atau rawatan yang diperlukan oleh tertuduh bagi menyokong alasan yang diberikan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan dikurangkan kepada RM21,000 dengan mengekalkan syarat-syarat tambahan ditetapkan sebelum ini.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, tertuduh turut memohon jumlah jaminan RM3,000 dikenakan sebelum ini dikurangkan atas alasan sama.

Bagaimanapun, Majistret Nurul Saqinah Rosli menolak permohonan tersebut.

Sebutan semula kes untuk lantikan peguam bagi kedua-dua pertuduhan ditetapkan 20 Mei depan.

Pada prosiding tersebut, pelakon berkenaan tidak hadir, begitu juga ahli keluarga lain.

Sebelum ini media melaporkan, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu membabitkan urusan penjualan tanah kurniaan tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian lebih RM200,000 tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM270,811 secara dalam talian ke akaun milik seorang wanita berusia 35 tahun bagi mendapatkan tanah kurniaan negeri Selangor yang tidak wujud.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 2 April 2025 hingga 13 November 2025 di sebuah bank di daerah ini.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu seorang lelaki berusia 49 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM23,120 bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk yang tidak wujud.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan. -Sinar Harian

Must Watch Video