KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkata beliau diarahkan membuka aduan terhadap Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung dakwaan rasuah berjumlah RM6.9 juta daripada sebuah syarikat berhubung projek Jana Wibawa.

Khusyaini Adhillah Mat Aripin, 37, berkata beliau menulis aduan itu pada 27 Jan 2023 selepas menerima maklumat lanjutan daripada siasatan sebelum ini.

"Saya menerima maklumat bahawa lanjutan daripada siasatan aduan sebelum ini mendapati pada tahun 2022, Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai Ketua Penerangan Bersatu telah meminta dan menerima rasuah daripada Syarikat Nepturis Sdn Bhd berjumlah RM6.9 juta sebagai balasan membantu syarikat itu mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur bernilai RM232 juta.

"Berdasarkan maklumat tersebut, saya telah membuka borang aduan SPRM pada hari sama jam 10.18 pagi. Saya telah berbincang dengan Ketua Cawangan Siasatan B, Bahagian Siasatan, Ibu Pejabat SPRM iaitu Penolong Pesuruhjaya Mazery Mod Zain untuk membuka aduan," kata saksi pertama pendakwaan itu.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada hari pertama perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Ketua Penerangan Bersatu itu di Mahkamah Sesyen di sini.

Khusyaini Adhillah berkata setelah aduan dibuat, beliau menyerahkan salinannya kepada Unit Rekod Sektor Awam agar suatu siasatan di bawah Akta SPRM 2009 dapat dijalankan.

Kepada soalan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful, saksi itu yang kini bertugas di Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, berkata beliau tidak mengetahui siapa memberi arahan untuk membuat aduan tersebut dan maklumat mengenainya.

Amer Hamzah: Kamu tidak tahu siapa bagi arahan dan segala maklumat kamu tidak tahu, jadi saya cadangkan aduan tersebut adalah palsu dan dibuat dengan niat jahat.

Khusyaini Adhillah: Tidak setuju.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Amer Hamzah bahawa ayat dalam aduan tersebut dirangka oleh beliau sendiri kerana ia adalah perbincangan bersama Mazery.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa, Khusyaini Adhillah berkata beliau tidak bersetuju aduan itu adalah palsu dan berniat jahat kerana mana-mana pegawai SPRM yang mengesyaki terdapat maklumat mengenai kesalahan di bawah akta SPRM, ia boleh didaftar dalam borang aduan.

Sementara itu, Penolong Pegawai Siasatan SPRM Muhamad Syakir Zakaria, 35, berkata beliau telah diarah oleh Mazery untuk menangkap Wan Saiful pada 8 malam 20 Feb 2023 di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi menjalankan siasatan atas kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Muhamad Syakir, yang juga saksi pendakwaan kedua, berkata setelah menerangkan sebab-sebab beliau ditangkap, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu memahaminya dengan jelas dan menurunkan tandatangan pada notis Seksyen 53 (3) Akta SPRM.

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung esok.

-- BERNAMA