SUNGAI NIBONG: "Anak saya wira negara, dia juga wira anak-anak Sungai Nibong. Saya bangga dengannya dan saya juga ikhlas pemergian beliau."

Demikian luahan bapa Muhammad Firdaus, Ramli Abd Hamid yang ditemui pihak media sebaik urusan pengebumian anak sulungnya selesai.

Ramli berkata, beliau mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan dan semua pihak yang banyak membantu menguruskan dari awal hingga selesai pengkebumian Allahyarham.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan juga kepada pemerintah negara seperti Menteri Dalam Negeri, Menteri Pertahanan, Datuk-Datuk dan Panglima Angkatan Tentera semua, dan juga kepada semua pihak terlibat.

"Terima kasih kerana masih sayangkan keluarga saya, masih sayangkan anak saya. Saya ikhlas, demi Allah saya ikhlas pemergian beliau.

"Dia adalah wira bagi kami. Beliau adalah wira negara, beliau adalah wira anak-anak Sungai Nibong. Ssaya bangga dengannya, terima kasih juga kepada pemberita terima kasih," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar malam ini.

Terdahulu, jenazah Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli yang terkorban dalam nahas dua helikopter bertembung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, selamat dikebumikan jam 8.50 malam.

Jenazah Allahyarham di kebumikan dengan penuh istiadat pengebumian ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar.

Lebih 1,000 orang termasuk pegawai dan anggota pasukan tentera turut berada di masjid bagi bersama-sama menunaikan solat jenazah yang diimamkan imam Harun Mahyudin selepas solat Maghrib.

Allahyarham Muhammad Firdaus bertugas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar, Sabah antara 10 kru yang terkorban dalam nahas dua helikopter TLDM bertembung kira-kira jam 9.45 pagi Selasa.

Kedua-dua helikopter yang bertembung di udara dan terhempas di itu dilaporkan sedang menjalani latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Dua helikopter yang terdiri model HOM-AW139 dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.

Pesawat HOM-AW139 dilaporkan terhempas di dalam kawasan Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec terhempas dekat kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.