NATIONAL
Saya maafkan pemandu lori - Isteri anggota FRU terkorban nahas

Norazian (dua, kiri) menerima manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian berjumlah RM4,000 daripada Mastura (kiri), di rumah mereka di Kampung Sungai Itek, Gopeng, hari ini. - Foto Astro AWANI
GOPENG: Isteri kepada Allahyarham Koperal Amiruddin Zabri yang terkorban dalam nahas di Teluk Intan pada Selasa, memaafkan pemandu lori muatan batu kerikil yang terlibat dalam kejadian itu.
Norazian Mohd Joned, 38 tahun, menyifatkan kemalangan itu hanya sebagai asbab kepada kematian suaminya dan lapan lagi rakan Allahyarham.
Menurutnya, suaminya pernah melahirkan rasa cemburu terhadap kematian enam anggota bomba yang lemas ketika menyelamatkan seorang remaja yang terjatuh di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor pada 2018.
“Kejadian ini hanya asbab, sudah dijanjikan (oleh Allah), sebab suami saya pernah cakap mengenai kes anggota bomba yang lemas semasa turun beramai-ramai (dalam operasi menyelamat).“Dia pernah cakap, kita patut cemburu dengan mereka sebab kematian mereka didoakan oleh semua orang. Orang yang tak kenal pun mendoakan mereka, dia kata.
“Mungkin agaknya pada masa itu dia juga berdoa untuk mati dalam keadaan begitu. DIa kata kematian mereka kematian yang baik,” katanya.
Norazian ditemui semasa Program Ziarah Kasih Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di kediamannya di Kampung Sungai Itek, di sini, hari ini.
Mengenai keadaan keluarga selepas hampir seminggu pemergian suami, dia berkata, dua anak lelakinya, Amirul Firdaus, 12 tahun, dan Amirul Asyraf, 11 tahun, sudah boleh menerima kehilangan ayah mereka.
Bagaimanapun, katanya, anak bongsunya, Amira Sofea yang berusia setahun tiga bulan sering terjaga malam dan merengek, mungkin kerana rindukan ayahnya.
“Dia asyik merengek, (maklumlah) dia belum pandai bercakap. Mungkin dia rindukan ayahnya sebab memang arwah yang akan menidurkan dia,” ujarnya.
Norazian yang juga penjawat awam berkata, dia akan menggunakan bantuan kewangan yang diterima, untuk memberi pendidikan yang sempurna untuk anak-anaknya.
Pada majlis itu, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid menyampaian manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian berjumlah RM4,000 kerana Allahyarham Amiruddin merupakan pendeposit Simpan SSPN Prime yang telah membuka akaun untuk diri sendiri pada 7 Mei lalu.
Dalam kejadian pada 8.50 pagi 13 Mei lalu, lori muatan batu yang dipandu seorang lelaki bertembung trak yang membawa 18 anggota FRU yang sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugasan sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan.
Akibat kemalangan itu sembilan anggota FRU yang menaiki trak berkenaan maut, manakala sembilan lagi mengalami pelbagai kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami