Peguam Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Matthias Chang berkata dirinya dijangka ditahan selepas memberi kenyataan kepada polis mengenai kes anak guamnya esok.

Bila ditanya mengenai kebimbangannya itu, kata Matthias perkara itu adalah sesuatu yang dapat dijangka memandangkan dia berada bersama Khairuddin ketika membuat laporan polis berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya rasa saya akan ditahan. Itu sesuatu yang boleh diagak memandangkan saya peguam yang menemani Khairuddin membuat laporan polis itu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Bagaimanapun, Matthias turut memberitahu perkembangan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan itu yang kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur kerana disyaki menghidap demam denggi.

“Khairuddin masih lemah tetapi mentalnya masih kuat,” katanya.

Pada 18 September, Khairuddin ditahan oleh pihak polis selama enam hari.

Penahanan tersebut dibuat di kediamannya di Mont Kiara iaitu beberapa hari sebelum beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dengan agen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat.

Kemudian, pada 23 September, Khairuddin ditahan semula di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berhubung isu 1MDB boleh dianggap sebagai sabotaj terhadap negara ini.