KUALA LUMPUR:Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak memiliki saham mana-mana syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, khabar angin yang cuba mengaitkan beliau dengan syarikat tertentu adalah palsu.

Selain itu, katanya lagi, perbuatan itu sengaja dirancang bagi mengelirukan dan memanipulasi sentimen di kalangan pelabur dan pembeli saham.

“Saya difahamkan tersebar khabar angin di pasaran saham yang mengaitkan nama saya dengan kaunter-kaunter tertentu di Bursa Malaysia. Ini adalah tidak benar sama sekali. Ingin ditegaskan bahawa saya tidak memiliki saham dalam mana-mana syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Cakap-cakap yang mengaitkan nama saya dengan syarikat tertentu adalah palsu dan berniat menipu para pembeli saham,” katanya lagi.

Baru-baru ini, portal The Edge Markets  mengaitkan kenyataan Anwar bahawa beliau diperkenan mengadap Yang di-Pertuan Agong, dengan kenaikan mendadak saham beberapa syarikat Bursa Malaysia, iaitu Advance Synergy Bhd, Malayan United Industries Bhd (MUIIND), dan Pan Malaysia Holdings Bhd.

Portal berkenaan pada Jumaat lepas berkata, saham Advance Synergy meningkat dari 6.5 sen kepada 28.5 sen, saham MUIIND dari 1.5 sen kepada 15.5 sen, manakala saham Pan Malaysia Holdings meningkat sebanyak enam sen, kepada 20.5 sen.

Artikel berkenaan turut menyatakan bahawa adik Anwar, iaitu Farizon Ibrahim, merupakan pengarah kepada MUIIND dan Pan Malaysia Holdings.

Sementara itu, Anwar, yang juga Presiden PKR dalam kenyataan itu berkata, beliau berharap agar pihak Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti untuk melakukan tindakan sewajarnya.

“Saya meminta Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar pasaran saham tidak dimanipulasi oleh individu tertentu untuk mengaut keuntungan dengan menyebar khabar palsu,” katanya lagi.