KUALA LUMPUR: Penasihat DAP Lim Kit Siang memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat beliau tidak pernah membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Lim berkata demikian dalam pemeriksaan balas oleh peguam M.Visvanathan pada hari kelima perbicaraan tuntutan saman fitnah oleh Mohamed Apandi terhadap Lim berhubung satu artikel mengenai skandal 1MDB yang didengar di hadapan Hakim Datuk Azimah Omar.

Ketika dicadangkan Lim tidak membuat laporan polis kerana beliau tahu Mohamed Apandi tidak membantu dan bersubahat dalam skandal 1MDB, Lim berkata beliau tidak bersetuju.

Visvanathan: Saya menyatakan kepada anda bahawa anda tidak cukup berani untuk membuat laporan polis pada waktu itu bahawa AG pada waktu itu telah membantu dan bersubahat dalam skandal 1MDB? 

Lim: Saya tidak membuat laporan polis kerana AG mesti bertanggungjawab kepada rakyat.

Visvanathan: Adakah anda bersetuju bahawa alasan anda tidak membuat laporan polis kerana anda tahu di dalam hati anda bahawa plaintif tidak membantu dan bersubahat dalam skandal 1MDB?

Lim: Ia tidak begitu. Saya tidak bersetuju.

BACA: Siasatan 1MDB, SRC diklasikasi sebagai NFA, bukan ditutup - Mohamed Apandi

BACA: Apandi Ali gagal kawal perasaan, menangis ketika beri keterangan di mahkamah 

Kepada persoalan lain sama ada Lim telah menulis surat kepada Mohamed Apandi sebelum ini untuk mendapatkan penjelasan berhubung kenyataannya pada 26 Jan 2016 yang membersihkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai salah laku dalam skandal 1MDB dan SRC International Sdn Bhd, Lim berkata tidak.

Visvanathan: Sebagai Ahli Parlimen (MP) adakah lebih baik untuk menulis kepadanya secara rasmi menuntut penjelasan dan sekiranya bekas AG gagal untuk memberi respons, maka anda boleh katakan, saya telah menulis surat kepada AG tetapi beliau enggan memberi respons. Itulah cara yang betul, yang adil iaitu tentang kedaulatan undang-undang?

Lim: Dengan hormatnya, saya tidak bersetuju. 

Visvanathan juga berkata bahawa tindakan Lim yang tidak mahu mendapatkan sebarang pengesahan daripada Mohamed Apandi adalah cubaan untuk membawa isu itu ke kancah politik, ia disangkal Lim yang menyatakan beliau tidak bersetuju.

Pada 5 Julai 2019, Mohamed Apandi menyaman Lim dan dalam penyataan tuntutan mendakwa pada 6 Mei 2019, Lim telah menulis dan membawa kepada penerbitan artikel bertajuk, Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity dalam Malaysiakini.

Beliau mendakwa perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud bahawa beliau telah terlibat dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika serta telah menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi AG.

BACA: Mohamed Apandi buat laporan polis terhadap Tommy Thomas

BACA: Mohamed Apandi mohon dapatkan dokumen antara Dr Mahathir dan kerajaan

Mohamed Apandi, yang menyandang jawatan AG dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, mendakwa bahawa perkataan fitnah itu adalah tidak benar dan ditulis dengan niat mencemarkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas AG Malaysia bagi meraih publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am sebanyak RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Lim dan/atau ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azimah bersambung pada 21 Jun.

-- BERNAMA