KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada Khamis mengumumkan barisan baharu Majlis Penasihat Syariah (MPS) untuk tempoh tiga tahun dari 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2026.

Barisan baharu itu terdiri daripada sembilan ahli dengan lima pelantikan semula dan empat pelantikan baharu.

Antara ahli yang dilantik semula ialah Profesor (Prof) Dr Aznan Hasan dan Prof Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali, kedua-duanya merupakan profesor di Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Selain itu, Prof Dr Ashraf Md Hashim, Timbalan Presiden Penyelidikan dan Pengarah Eksekutif Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA Universiti INCEIF dan Prof Madya Dr Mohamed Fairooz Abdul Khir, Pengarah Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam Universiti INCEIF.

Pelantikan semula yang lain ialah Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim yang merupakan Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Sementara itu, pelantikan baharu termasuklah Mufti Selangor Sahibus Samahah Datuk Setia Dr Anhar Opir dan Pengarah Jaminan Kualiti Penyelidikan dan Penerbitan Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA Universiti INCEIF Dr Marjan Muhammad.

Pelantikan baharu yang lain ialah Penolong Prof Dr Akhtarzaite Abdul Aziz dari AbdulHamid AbuSulayman Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM dan Burhanuddin Lukman, bekas penyelidik di Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam.

Mengulas mengenai barisan baharu itu, Pengerusi SC Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata MPS memainkan peranan penting dalam memastikan pasaran modal Islam sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam industri, di samping menyokong dan memudahkan usaha untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ruang ini.

"Di SC, kami terus menyepadukan inovasi dan kemampanan ke dalam pengetahuan dan amalan Syariah untuk mengukuhkan daya saing Malaysia sebagai hab kepimpinan pemikiran pasaran modal Islam (ICM) global yang terkemuka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ditubuhkan pada 16 Mei 1996 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993, MPS merupakan pihak berkuasa yang menentukan penggunaan prinsip Syariah dalam urus niaga ICM.

Di samping itu, mandat MPS termasuk memastikan pelaksanaan ICM mematuhi prinsip Syariah.

-- BERNAMA