KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 pertuduhan jenayah dikenakan terhadap enam individu dan satu syarikat awam tersenarai (PLC) pada 2021 kerana aktiviti tidak berlesen dan memberi maklumat palsu dalam pelaporan kewangan, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Selain itu, satu permohonan pelucuthakan jenayah telah difailkan terhadap seorang individu dan satu syarikat sendirian berhad berkaitan dengan kesalahan pengubahan wang haram, katanya.

"Tiga sabitan telah diperolehi terhadap tiga individu bagi kes melibatkan dagangan orang dalam, memberikan maklumat mengelirukan dalam pelaporan kewangan, dan kegagalan untuk hadir di hadapan Pegawai Penyiasat SC berkaitan dengan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan WangHaram, Pencegahan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2021 (AMLATFPUAA)," katanya dalam Laporan Tahunan 2021 yang dikeluarkan hari ini.

Menurut SC, jumlah denda yang dikenakan di atas pendakwaan jenayah tahun lepas adalah RM7.575 juta.

Sementara itu, SC telah memfailkan enam tindakan sivil pada 2021 terhadap 10 individu, dan empat penghakiman persetujuan juga direkodkan antara pengawal selia tersebut dengan lapan individu.

SC berkata tahun lepas, jumlah yang diperoleh semula/perintah pengembalian wang adalah RM16.04 juta, manakala jumlah penalti sivil yang dikenakan adalah RM2.5 juta.

Mengenai penyelesaian kawal selia, SC berkata sembilan kes penyelesaian kawal selia diadakan pada 2021, ia melibatkan 10 individu dengan RM4.96 juta diperolehi semula.

Ia berkata sebanyak RM2.74 juta telah dikembalikan kepada 721 pelabur tahun lepas, manakala sebanyak RM1.60 juta dikenal pasti untuk dikembalikan kepada 501 pelabur.

SC berkata tiga pengarah PLC, seorang individu berlesen dan seorang individu swasta telah dihalang daripada berdagang di Bursa Malaysia tahun lepas, manakala lima pengarah PLC, seorang individu berlesen dan seorang individu swasta telah dihalang daripada menjadi pengarah pada 2021.

Mengenai tindakan pentadbiran, pengawal selia tersebut berkata sebanyak 136 sekatan pentadbiran dikenakan pada 2021 bagi pelbagai pelanggaran undang-undang sekuriti dan garis panduan SC.

SC juga berkata sebanyak 133 notis pelanggaran telah dikeluarkan pada 2021, ia terdiri daripada 41 surat penyeliaan melibatkan pelanggaran, 22 surat amaran, 42 surat ketidakpatuhan dan 28 surat henti operasi.

Sorotan kes yang berlaku tahun lepas adalah siasatan SC ke atas penglibatan AMMB Holdings Bhd (Kumpulan Ambank), dan pengawal selia tersebut telah menyelesaikan siasatannya ke atas bank tersebut kerana terlibat dalam perbuatan untuk menipu kerajaan dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), serta ketidakpatuhan terhadap undang-undang dan garis panduan SC yang berkaitan.

"Pada 26 Feb, 2021, Kumpulan AmBank bersetuju untuk membayar RM2.83 bilion kepada kerajaan untuk penyelesaian global bagi semua tuntutan dan tindakan tertunggak berhubung penglibatan kumpulan tersebut dalam hal berkaitan 1MDB," katanya.

Menyedari bahawa kesalahan sekuriti tiada had sempadan dan mungkin melibatkan pelbagai bidang kuasa dan/atau pihak berkuasa, SC turut menyertai operasi bersama yang diselaraskan oleh Pusat Anti Jenayah Kewangan Kebangsaan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Cyber Security Malaysia.

Menyentuh isu kerjasama antarabangsa, SC berkata pada 2021, ia telah berhubung dengan 15 pihak berkuasa penyeliaan asing menurut Memorandum Persefahaman Pelbagai Hala IOSCO (IOSCO MMoU) untuk memohon bantuan daripada rakan sekerjanya.

IOSCO MMoU merupakan mekanisme utama yang digunakan untuk perkongsian maklumat dan pengumpulan bukti mengenai salah laku rentas sempadan.

Dalam memberi kejayaan siasatan SC, pengawal selia tersebut berkata ia berpeluang mendapatkan pandangan berharga melalui pakar dari Amerika Syarikat (AS) mengenai siasatan aset digital melalui kerjasama bersama Kedutaan AS di Kuala Lumpur.

"Usaha yang sama akan diteruskan dengan rakan antarabangsa yang lain secara tetap untuk membincangkan isu penguatkuasaan dan penyeliaan, serta meningkatkan protokol pertukaran maklumat," katanya.

-- BERNAMA