Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Sebanyak 3,524 tahanan warga Myanmar lagi akan dihantar pulang pada fasa kedua - Fahmi

OPS PIER 1.0 Hantar Myanmar
Fahmi berkata fasa pertama berjaya dilaksanakan semalam (Selasa) membabitkan seramai 1,476 pelarian. - Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

PUTRAJAYA: Seramai 3,524 tahanan warga Myanmar lagi akan dihantar pulang ke negara asal menerusi fasa kedua Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela.

Bagaimanapun, jurucakap kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata penghantaran pulang mereka akan dilaksanakan sebaik sahaja Malaysia menerima tarikh yang ditetapkan kerajaan Myanmar.

Beliau berkata, tarikh berkenaan masih ditunggu dan akan diselaraskan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, KDN bertanggungjawab menguruskan depoh yang menempatkan tahanan warga Myanmar, manakala Wisma Putra menguruskan nota diplomatik daripada pihak Myanmar.

"Fasa pertama berjaya dilaksanakan semalam (Selasa) membabitkan seramai 1,476 pelarian," katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini, pada Rabu.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, individu terbabit dikenal pasti pihak berkuasa Myanmar dan senarai nama mereka dikemukakan kepada Malaysia menerusi nota diplomatik bertarikh 13 Ogos lalu.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Myanmar dalam masa terdekat bagi membolehkan lebih ramai pelarian Myanmar yang berada di Malaysia diterima pulang selepas proses penghantaran kumpulan kedua selesai.

"Pada waktu ini, kita menunggu pihak Myanmar untuk memberikan tarikh dan ini akan diselaraskan bersama pihak KDN.

"KDN menguruskan depoh yang mana pelarian Myanmar dijaga, manakala Wisma Putra akan menguruskan nota diplomatik daripada pihak Myanmar.

"Kita jangkakan selepas proses penghantaran kumpulan pertama ini selesai, kita akan menerima makluman daripada pihak Myanmar mengenai kumpulan kedua.

"Bila ada maklumat nanti, sudah pasti pihak KDN akan memaklumkan," katanya.

Must Watch Video

Advertisement