SEPANG: Kerajaan memberi jaminan bekalan picagari jenis low dead-volume adalah mencukupi untuk digunakan bagi suntikan vaksin COVID-19 Pfizer.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuat persiapan rapi untuk memastikan tiada pembaziran dos vaksin berkenaan.

“Satu bebuli Pfizer mempunyai enam dos. Tetapi dos keenam hanya boleh diambil menggunakan picagari low dead-volume, kalau tidak dos keenam itu tidak boleh diambil.

“Sebab itu KKM telah membuat perancangan awal dan persiapan untuk dapat picagari tersebut. Kalau tidak tak dapat enam dos daripada satu bebuli. Banyak negara yang terpaksa membazir satu dos daripada bebuli sebab ia tidak dapat picagari low dead-volume,” katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.

BACA: Program Imunisasi COVID-19 diawalkan, Perdana Menteri terima suntikan pada 24 Februari

Jelas Khairy lagi, setakat ini Malaysia sudah mendapat bekalan picagari tersebut yang sedia untuk digunakan menjelang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijadual pada 24 Februari.

Sebanyak 12 juta picagari jenis low dead-volume dijangka digunakan bagi suntikan vaksin.

Memetik Berita Harian, tanpa penggunaan picagari berteknologi tinggi itu, sebanyak 0.08 mililiter  (ml) terbuang untuk setiap bebuli vaksin berkenaan.



 
Semua berita vaksin COVID-19