SEPANG:Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan tarikh sebutan baharu kes seorang artis India tempatan dikenali sebagai VJ Emergency yang didakwa membunuh seorang jurutera tapak binaan pada Oktober tahun lepas.

Peguam Datuk Sheelan Arjunan, yang mewakili VJ Emergency atau nama sebenarnya P. Vijayan ketika dihubungi Bernama berkata pada prosiding hari ini, Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan 2 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Menurut peguam itu, setakat ini hanya laporan asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa sudah diterima oleh pihak pembelaan manakala laporan bedah siasat, kimia dan forensik masih belum diperoleh.

Vijayan, 43, dituduh melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas K. Seri Ganis Kanapathy Pillay, 42, di kawasan bersebelahan Jalan Airport City 2, Airport Business Centre, Kota Warisan di sini antara 2.38 pagi hingga 4.50 pagi, pada 28 Okt tahun lepas.

Tertuduh yang juga Presiden Persatuan Artis-Artis India Malaysia dan Presiden Gabungan Persatuan Seni India Malaysia selain pengurus hartanah menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nasharina Nazlan.

VJ Emergency pernah menghasilkan beberapa album Tamil dengan sentuhan Malaysia untuk pasaran tempatan dengan satu daripada lagu Tamil bertajuk 'Sudahka Belum'.

Pada 28 Okt lepas, media melaporkan seorang pemandu sebuah kenderaan mewah ditemukan rentung dalam keretanya yang terbakar bersebelahan Jalan Airport City 2, Airport City Business Centre berhampiran Stesen LRT Salak Tinggi.

-- BERNAMA