Skip to main content

Malaysia

Sedia cadangkan pembenihan awan jika kemarau berpanjangan - RISDA

81631436302_TBPENOREHGETAH.jpg
Cuaca panas yang berterusan memberikan impak langsung pada pertumbuhan daun, penghasilan susu getah serta pendapatan pekebun kecil. - Gambar hiasan

ALOR SETAR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bersedia mencadangkan pelaksanaan pembenihan awan jika cuaca panas melampau dan kemarau berpanjangan sehingga menjejaskan pengeluaran getah, khususnya di utara Semenanjung.

Pengerusinya Manndzri Nasib berkata cuaca panas yang berterusan memberikan impak langsung pada pertumbuhan daun, penghasilan susu getah serta pendapatan pekebun kecil. 

Advertisement

Beliau berkata pada masa ini Felda Chuping, Felda Rimba Mas dan Felda Mata Ayer di Perlis antara kawasan paling terjejas akibat cuaca panas.

"Kalau keadaan makin kritikal, pandangan kita, pembenihan awan perlu dibuat, kalau tidak komuniti kita akan terjejas, pokok mati sampai satu masa kena tebang untuk tanam semula.  

"Jadi kalau serius sangat saya rasa RISDA pun terpaksa buat pembenihanan awan," katanya selepas merasmikan Konvensyen GEMPAK dan Program Pekebun Kecil Makmur RISDA Kedah di sini, hari ini.

Manndzri berkata isu cuaca panas dan kemarau bukan perkara baharu justeru RISDA sedang menjalankan kajian bagi mencari kaedah terbaik bagi mengekalkan kelembapan tanah dan kesihatan pokok getah. 

Beliau berkata antara langkah yang dikaji termasuk penggunaan baja dan teknologi moden bagi memastikan daun kekal subur, fotosintesis berterusan dan pengeluaran susu getah stabil.

"Daun sebenarnya akan kering, fotosintesis terganggu, susu getah berkurangan dan batang menjadi keras.  Ini memberikan impak besar kepada pengeluaran.

"Salah satu langkah yang sedang dikaji ialah penggunaan baja dan teknologi terkini untuk membantu pokok mengekalkan kelembapan dan memastikan pertumbuhan serta penghasilan getah tidak terjejas," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga komited dalam memastikan harga getah kekal kompetitif bagi menarik minat generasi muda mewarisi pekerjaan dalam komoditi itu.

"Kalau harga getah rendah, saya rasa anak-anak muda tidak mahu mewarisi kerja menoreh ini, jadi kita perlu pastikan harga getah tinggi," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video