Segera lapor kes pukul di madrasah - Exco

Seorang bekas pelajar membuat dakwaan mengenai kejadian pukul, penderaan fizikal dan pengabaian kebajikan oleh pemilik sebuah madrasah sepanjang tiga tahun dia berada di pusat itu. - Gambar hiasan
MELAKA: Kerajaan negeri menggesa ibu bapa dan pelajar membuat laporan rasmi sekiranya berlaku penganiayaan dan dera ke atas pelajar di mana-mana madrasah bagi memudahkan siasatan dilakukan dengan segera.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku kejadian memukul dan mendera pelajar seperti yang tular di media sosial dan siasatan segera perlu dilakukan.
"Setakat ini kita belum menerima apa-apa laporan rasmi berhubung dakwaan mengenai pemilik sebuah madrasah yang dikatakan memukul dan mendera pelajarnya.
"Jadi kita minta ibu bapa dan pelajar untuk terus lapor kepada kami melalui aduan rasmi agar perkara ini ditangani jika benar terjadi," katanya kepada media selepas menyantuni 249 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Molek di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Molek itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan seorang bekas pelajar mengenai kejadian pukul, penderaan fizikal dan pengabaian kebajikan oleh pemilik sebuah madrasah sepanjang tiga tahun dia berada di pusat itu.
Rahmad memberi amaran bahawa tindakan menutup madrasah juga akan diambil sekiranya terbukti berlaku kes penderaan di institusi berkenaan walaupun di bawah pihak swasta.
"Memang berlaku beberapa kes yang berkaitan seperti pukul pelajar di madrasah lain dua tahun lepas dan madrasah tersebut diarah tutup dan siasatan dilakukan sewajarnya. Jadi kita minta jika ada kes, pihak terlibat buat laporan rasmi," katanya.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


