KOTA KINABALU: Keperluan asas rakyat yang mudah ditangani perlu diselesaikan dengan segera bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mampu disiapkan mengikut jadual, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata keperluan asas seperti bekalan air dan elektrik, jalan raya serta sistem tebatan banjir dan saliran mampu ditangani melalui pelaksanaan projek kecil bersifat low-hanging-fruits yang berimpak tinggi dan berkos rendah.
“Walaupun projek mega penting untuk pertumbuhan jangka panjang, projek low-hanging fruits mampu memberikan impak segera yang dapat dinikmati oleh rakyat dan kerajaan dalam tempoh lebih singkat.
“Saya ingin menekankan sekali lagi bahawa pelaksanaan projek ini amat penting sebagai pemangkin strategik bagi pembangunan Sabah,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di sini hari ini.
Hajiji berkata segala isu khususnya yang dibangkitkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini perlu ditangani segera menerusi pelaksanaan projek low-hanging fruits yang berimpak tinggi dan berkos rendah.
“Rakyat menaruh harapan tinggi agar mereka dapat menikmati manfaat pembangunan ini tanpa sebarang kelewatan.
“Saya menyeru semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana agar terus memperkukuh komitmen, meningkatkan kerjasama dan penyelarasan strategik bagi memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan dengan cekap, sistematik serta mengikut jadual ditetapkan,” katanya.
Beliau juga mahu mesyuarat MTPNg dimanfaatkan sepenuhnya sebagai platform untuk perbincangan yang konstruktif, berorientasikan penyelesaian dan tindakan supaya setiap isu berkaitan pelaksanaan dapat ditangani secara proaktif.
Sementara itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri Sabah kekal komited untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.
Beliau berkata perkara berkenaan penting bagi memastikan setiap dasar, program dan projek pembangunan diterjemah kepada manfaat nyata demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri ini.
Ketua Menteri berkata sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0, pelaksanaan projek pembangunan perlu terus diperkukuh menerusi penyelarasan yang sistematik dan bersepadu antara kementerian, jabatan serta agensi pelaksana.
“Saya yakin dengan komitmen dan sinergi yang kukuh, kita akan dapat memastikan setiap projek pembangunan disiapkan, sekali gus mempercepat kemajuan Sabah,” katanya.
-- BERNAMA