Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telahpun melancarkan generasi terbaharu trak Triton pagi ini, dengan tempahan awal (yang bermula April 1) melebihi 2,000 unit setakat ini. Untuk generasi kelima, tumpuan telah diberikan untuk menjadikan model ini lebih sesuai sebagai kenderaan kegunaan harian.

Memperkenalkan Triton serba baharu, En. Won-Chul Yang, Ketua Pegawai Eksekutif MMM berkata, “Triton adalah model paling laris bagi Mitsubishi Motors Malaysia. Sejak dilancarkan pada 2006, lebih 56,000 unit telah terjual di seluruh negara. Hari ini, kami teruja dengan pelancaran rasmi Triton serba baharu, generasi kelima pikap Mitsubishi Motors yang dikeluarkan. Sejak 1978, lebih 4 juta unit telah terjual di seluruh dunia.”

Triton baharu ini diimport daripada hab pengeluaran global Mitsubishi Motors di Thailand.

Rekabentuk
Perubahan adalah menyeluruh, di mana yang paling ketara adalah gril hadapan krom. Dilihat dari sisi, Triton serba baharu memiliki reka bentuk arus ke hadapan dan `garisan J’ di antara kabin dan dek belakang yang merupakan rumusan inovatif untuk memaksimumkan ruang dalaman dan pada masa sama, menyediakan jumlah kargo yang besar. Secara visualnya, model ini tidak kelihatan besar seperti sebelumnya.

Hakikatnya, walaupun panjang keseluruhan turun sebanyak 15mm (5,280mm), lebar dan tinggi sudah meningkat. Ini dibuktikan dengan ruang kabin yang memberi 20mm lebih ruang kaki dan 10mm lebih ruang bahu.

Bagi berat, ia telah turun kepada 1,835kg, iaitu 12% kurang dari sebelumnya.

Varian dan enjin
Lima kesemuanya, tiga daripadanya dengan kotak gear manual iaitu Quest 4x2, 4x4, dan VGT 4x4. Varian VGT 4x4 dan VGT Adventure 4x4 pula dilengkai dengan kotak gear automatik lima-kelajuan (beserta paddle shifter).

Berbeza sebelumnya, kali ini Triton hanya mempunyai satu saiz enjin – 2.5-liter, diesel. Tetapi terdapat variasi padanya, khususnya untuk model Quest (manual) 4x2 yang tidak mempunyai intercooler. Output bagi varian ini adalah 108hp dan 200Nm.

Bagi 4x4 pula (dengan intercooler) adalah 134hp dan 324Nm. Satu lagi nilai talaan memberi 176hp dan 400Nm (untuk ketiga-tiga varian dengan VGT ataupun Variable Geometry Turbocharger.

Keselamatan
Kesemua lima varian menampilkan ciri-ciri keselamatan yang sama. Ini termasuk Isofix, sensor belakang, dua beg udara dan palang hentaman sisi (side impact door beams).

Lain-lain
Kami diberitahu oleh seseorang di dalam MMM bahawa mereka agak terkejut kerana agak banyak tempahan adalah untuk varian tertinggi (VGT Adventure AT 4x4).

Namun, dengan senarai kelengkapan panjang bagi pemandu moden, ia cuma membuktikan bahawa pembeli kereta sekarang mahukan lebih banyak nilai untuk kereta mereka. Bagi VGT Adventure, ia termasuk lampu utama HID Xenon automatik, lampu DRL, pemain audio dengan skrin sentuh (dan output video daripada kamera undur), sistem pendingin dwi-zon, cruise control dan juga Limited Slip Differential jenis hibrid.

Pihak MMM mempunyai sasaran jualan sebanyak 900 unit sebulan merangkumi 20% bagi segmen trak di Malaysia.

Triton serba baharu didatangkan dengan Penyenggaraan Percuma 2 tahun dan waranti kilang 3 tahun atau 100,000km pertama.

Berikut adalah harga di Semenanjug Malaysia (tanpa insurans, termasuk GST untuk pendaftaran persendirian):
NoVarianHarga atas jalan tanpa insurans, termasuk GST (RM)
1Triton VGT Adventure Automatic108,273.68
2Triton VGT Automatic98,549.28
3Triton VGT Manual92,114.64
4Triton Manual83,162.68
5Triton Quest Manual 4x267,603.64