KUALA LUMPUR : Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan pandangan bahawa setiap ahli politik seharusnya memberi keutamaan dalam menangani krisis COVID-19 khususnya yang menyentuh soal kesihatan dan ekonomi rakyat.

Titah baginda, segala usaha ketika ini harus diarahkan untuk menangani pandemik COVID-19 yang nyata menghimpit rakyat dari pelbagai aspek.

"Saya ingin memberi pandangan dan nasihat yang ikhlas kepada semua ahli politik di Johor ataupun mana-mana.

"Anda harus memberikan keutamaan kepada krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang kini berada di tahap yang amat membimbangkan. Sekarang bukan masa untuk berpolitik," titahnya menerusi satu perkongsian di laman Twitternya @HRHJohorII

Tambah Tunku Ismail, mandat yang dipegang oleh setiap ahli politik adalah datangnya daripada rakyat.

Justeru, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk melaksanakan tugas untuk menangani krisis COVID-19 dalam negara.


"Anda semua dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat demi rakyat dan negara. Tolonglah berikan tumpuan untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan dan cuba sedaya boleh untuk memerangi pandemik ini.

"Ketepikan segala perbezaan politik buat sementara ini dan berikan tumpuan sepenuhnya kepada rakyat. Ini adalah masa untuk berkhidmat dan membantu rakyat," titah baginda lagi.