KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk mengenakan beberapa sekatan tambahan bagi kemasukkan pengembara ke Labuan ekoran situasi semasa COVID-19 mutakhir ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, antara sekatan yang akan dilaksanakan pada 1 Julai ialah wajib menjalani ujian RT-PCR COVID-19 tiga hari sebelum memasuki Labuan.

Selain itu, katanya kuarantin wajib pengembara juga akan dilaksanakan bermula 1 Julai nanti di mana penduduk asal Labuan perlu menjalani kuarantin 10 hari di rumah.

Beliau turut menjelaskan, bagi penjawat awam yang memasuki Labuan, mereka perlu menjalani kuarantin 10 hari di rumah atau hotel.

Bagi pelawat asing dari luar negara pula, Ismail Sabri memaklumkan mereka perlu menjalani kuarantin 14 hari di hotel.

"Pemandu dan pekerja yang mempunyai Kad Harian Transporter bagi tujuan keluar masuk Labuan secara harian diwajibkan mengambil RT-PCR setiap dua minggu dan wajib menjalani ujian RTK Antigen setiap minggu.

"Sign on dibenarkan untuk rakyat tempatan dan wajib menjalani kuarantin 14 hari dengan satu ujian RT-PCR pada hari kesepuluh. Prosedur kemasukan ke Labuan adalah terpakai sepenuhnya. Keutamaan diberikan kepada individu yang telah mengambil vaksin COVID-19.

"Sign off pula dibenarkan dengan 14 hari kuarantin dan wajib menjalani satu ujian RT-PCR," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kapal kumpit atau kapal bukan konvensional (NCS) ditangguhkan buat sementara waktu.

Mengenai tempoh pelaksanaan sekatan tambahan yang bermula 1 Julai ini, katanya ia akan dimaklumkan sehingga diberitahu kelak.