Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Pindaan 2018) boleh "mengingatkan" rakan kongsi pasif supaya lebih bertanggungjawab terhadap syarikat, kata Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Roslan Mat Nor.

"Ia baik kerana semua orang akan lebih prihatin terhadap syarikat. Anda tidak boleh menubuhkan syarikat semata-mata untuk menubuhkannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi "Memahami Undang-undang Tanggungjawab Korporat dan Kesannya" di Forum Antirasuah Malaysia Kedua, di sini hari ini.

Mengikut undang-undang itu yang berkuat kuasa pada 1 Jun, organisasi komersial bertanggungjawab sekiranya pekerja atau sekutunya terlibat dalam rasuah dan hukumannya tidak lebih 10 kali ganda jumlah suapan atau RM1 juta, yang mana lebih tinggi, atau penjara 20 tahun, atau kedua-duanya.

"Di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009, jika pekerja anda melakukan kesalahan, anda juga akan terlibat," kata Roslan.

Beliau berkata ruang untuk rasuah akan diminimumkan kerana syarikat akan takut jika ada laporan kepada SPRM atau penguatkuasaan berikutan penyiasatan berdasarkan laporan audit.

-- BERNAMA