PUTRAJAYA: Sektor awam perlu beranjak daripada melihat kekurangan perjawatan sebagai punca pelbagai masalah, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keupayaan bakat pegawai sedia ada bagi memenuhi keperluan masa hadapan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata kelebihan sesebuah organisasi tidak lagi ditentukan oleh jumlah jawatan yang dimiliki semata-mata, sebaliknya oleh kualiti keupayaan tenaga kerjanya.
"Secara tradisinya, perancangan perjawatan banyak tertumpu kepada persoalan berapa banyak jawatan diperlukan, di mana jawatan diperlukan, dan gred yang diperlukan.
"Saya sentiasa menerima komen, perjawatan tak cukup, tak cukup. Namun, untuk menghadapi masa hadapan, kita perlu mula beranjak daripada melihat semua masalah berpunca daripada limitasi bilangan perjawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Simposium Perjawatan Sektor Awam bertemakan "Meneroka Masa Depan Pekerjaan Sektor Awam", di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail.
Wan Ahmad Dahlan berkata sektor awam perlu mempunyai keupayaan strategik untuk melihat ke hadapan, bukan sekadar mengurus keperluan perjawatan semasa tetapi turut mengenal pasti fungsi jawatan baharu yang bakal muncul.
Beliau berkata pengurusan bakat sektor awam juga perlu beralih daripada pendekatan berasaskan jawatan kepada pendekatan berasaskan keupayaan.
"Jawatan boleh berubah, struktur organisasi boleh berubah, teknologi boleh berubah, tetapi keupayaan untuk belajar, menyesuaikan diri dan mencipta nilai akan sentiasa relevan," katanya.
Beliau berkata perubahan itu selari dengan peralihan global daripada organisasi berasaskan jawatan kepada organisasi berasaskan kemahiran yang memberi tumpuan kepada kapasiti sebenar tenaga kerja.
Justeru, Wan Ahmad Dahlan mencadangkan lima keupayaan kritikal yang perlu diberikan perhatian sektor awam Malaysia iaitu literasi digital dan kecerdasan buatan (AI), pemikiran analitikal dan berasaskan data, kepimpinan dan pengurusan perubahan, pemikiran kreatif, inovatif dan holistik serta integriti, empati dan nilai kemanusiaan.
Beliau berkata literasi digital dan AI bukan sekadar bermaksud mahir menggunakan teknologi, sebaliknya melibatkan keupayaan mengintegrasikan AI secara beretika bagi memodenkan penyampaian perkhidmatan awam supaya lebih pantas dan tepat.
"AI tidak akan mengganti penjawat awam. Sebaliknya, penjawat awam yang menguasai AI bakal menggantikan penjawat awam yang tidak menggunakannya," katanya.
Beliau berkata pada masa hadapan, AI dijangka menjadi keperluan asas seperti komputer dan Internet pada hari ini, justeru, mereka yang enggan menguasainya berisiko ketinggalan.
Bagaimanapun, Wan Ahmad Dahlan berkata penggunaan AI dalam sektor awam perlu kekal berlandaskan prinsip keadilan, integriti, ketelusan, pematuhan undang-undang serta kepentingan rakyat.
Selain itu, beliau berkata sektor awam masa hadapan perlu mempunyai lima ciri utama iaitu proaktif dan prediktif, berpaksikan data, berteraskan digital, berpaksikan rakyat serta mempunyai keterhubungan ekosistem yang menyeluruh.
Beliau berkata perubahan itu menuntut landskap pekerjaan sektor awam beralih daripada cara kerja berasingan kepada pendekatan kolaboratif, daripada birokrasi kepada kelincahan serta daripada sekadar mengurus proses kepada penciptaan nilai.
Wan Ahmad Dahlan berkata pengurus sumber manusia juga tidak boleh lagi sekadar mengurus pelantikan, kenaikan pangkat, penempatan dan perkhidmatan, sebaliknya perlu berkembang menjadi pemikir strategik dan arkitek bakat organisasi.
“Pembangunan bakat perlu dilihat sebagai agenda strategik negara dan bukan hanya agenda latihan serta sumber manusia,” katanya.
-- BERNAMA