Skip to main content

Malaysia

Sektor pendidikan hadapi cabaran getir, terima laporan kecederaan murid setiap hari

51714708194_sekolah.jpg
Kementerian Pendididkan (KPM) menerima laporan berkaitan kecederaan murid hampir setiap hari, termasuk kes yang mengakibatkan kematian pernah mencecah lebih daripada 10 kes dalam sehari. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sektor pendidikan negara pada hari ini berdepan dengan cabaran getir sehingga menuntut pengukuhan mekanisme keselamatan dan perlindungan murid secara menyeluruh di 10,258 sekolah di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Mohd Azam Ahmad berkata pihak Kementerian Pendididkan (KPM) menerima laporan berkaitan kecederaan murid hampir setiap hari, termasuk kes yang mengakibatkan kematian pernah mencecah lebih daripada 10 kes dalam sehari.

Beliau berkata walaupun suasana di sekolah lazimnya kelihatan tenang, KPM menerima laporan pelbagai kejadian setiap hari yang memerlukan tindakan segera dan panduan yang lebih mantap.

“Mungkin orang tengok kita (warga sekolah) duduk dekat sekolah, nampak sekolah itu tenang, tiada apa-apa (kes), tetapi hakikatnya, kami di KPM setiap hari ada laporan berlakunya perkara yang melibatkan kecederaan atau kematian pelajar, malah pernah lebih daripada 10 kes satu hari.

“Sebab itu kita buat dasar ini untuk melihat perkara-perkara yang kita angkat sebagai panduan kepada sekolah. Kita tidak pandang satu sekolah sahaja, tetapi keperluan keseluruhan 10,258 sekolah,” katanya pada Sesi Dialog Polisi Perlindungan Murid yang disiarkan menerusi saluran YouTube EduWebTV KPM.

Sesi dialog itu turut disertai Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Dr Farah Nini Dusuki, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM Hanafi Abdul Samad dan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM Datin Rosliza Rosli sebagai panel.

Mohd Azam berkata sektor pendidikan kini semakin rencam memandangkan murid membesar dalam era digital yang mendedahkan mereka kepada pelbagai pengaruh luaran pada usia yang amat muda berbanding generasi terdahulu.

Beliau berkata peranan guru juga telah berkembang melangkaui penyampaian ilmu akademik, merangkumi aspek pembangunan nilai, akhlak, emosi serta psikologi murid.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kewujudan Polisi Perlindungan Murid dan protokol yang jelas penting bagi membantu warga pendidik melaksanakan tanggungjawab secara profesional serta menjadi panduan dalam mendepani cabaran semasa.

Pelaksanaan polisi berkenaan, yang diumumkan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) bertarikh 1 Julai lepas mewajibkan warga sekolah dan pihak luar yang berurusan dengan sekolah menandatangani Surat Aku Janji Kepatuhan Polisi Perlindungan Murid Sekolah sebagai bukti komitmen terhadap keselamatan murid.

SPI berkenaan menggariskan lima fokus utama reformasi pendidikan, iaitu kesihatan mental, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, keganasan seksual kanak-kanak dan pencegahan bahan terlarang, polisi perlindungan murid, kebajikan guru, serta suara murid.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement